Monday, December 23, 2013

Cukai pintu di Perak naik!

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak membantah keras kenaikan cukai pintu oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana turut menyumbang bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat terutamanya menjelang tahun hadapan berikutan keperluan barangan harian akan terkesan setelah Kerajaan Persekutuan menarik beberapa subsidi mulai tahun hadapan.

Tanpa ada pengumuman rasmi yang telah meluluskan kenaikan cukai pintu bagi tahun hadapan untuk semua PBT daripada Kerajaan Negeri Perak atau Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir, rakyat yang dipaksa menanggung kelemahan pengurusan daripada PBT dan juga kerajaan negeri sedia ada.

Bagi kami, adakah dengan hanya menaikan cukai pintu akan mengurangkan kos pengurusan dan pembangunan PBT selama ini dapat diselesaikan? Adakah wajar bagi rakyat untuk menampung kos emolumen bagi semua kakitangan PBT perlu dibebankan juga kepada rakyat?

Adakah juga oleh kerana bahan api yang tinggi dan kenaikan tarif elektrik baru-baru ini juga diletakkan dibahu rakyat melalui kenaikan cukai pintu? Bagi kami, sepatutnya pihak kerajaan negeri menilai kembali pengurusan kewangan PBT berdasarkan defisit bajet yang ada tahun lepas.

Kami merasakan inilah kelemahan yang dilakukan oleh PBT yang tidak diselasikan oleh kerajaan negeri sedia ada menyebabkan untuk mendapatkan sumber mudah melalui cukai pintu.

Tanpa malu, PBT yang tidak berbekalkan sumber kewangan yang kukuh tidak diatasi oleh sesebuah pentadbiran kerajaan negeri yang mampu untuk menyelesaikannya. Oleh yang demikian, kami bersedia mencadangkan kepada pihak kerajaan negeri agar memikirkan beberapa sumber pusingan kewangan yang mampu dan boleh disediakan.

Antaranya, memperuntukan beberapa bidang tanah bagi sektor pembangunan dan juga pertanian bagi pusingan kewangan tahunan yang boleh menjana sumber aliran kewangan yang baru kepada PBT khasnya. Ianya mampu mengimbangkan sumber pendapatan sedia ada melalui cukai pintu yang dikenakan kepada rakyat di masa yang akan datang kelak.

Jika cadangan ini diterima, sudah tentu PBT akan merasa lega dan mampu menjana sumber kewangan yang selebihnya akan menyumbang kembali kepada rakyat kelak. Kami bersedia memberikan cadangan balas kepada PBT bagi mengurangkan bebanan rakyat yang sekarang ini jelas bahawa rakyat dimangsakan oleh PBT dengan menaikan cukai pintu tersebut. Kami berharap, kerajaan negeri tidak sombong untuk menerima cadangan ini demi untuk melihat kesenangan rakyat dan kelak akan membantu rakyat yang terpaksa menanggung beberapa bebanan yang lain pada tahun hadapan!

DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

2 comments:

Advertise