Ustaz Abu Bakar Hussien

Adun Titi Serong

Ustaz Zawawi Abu Hassan

Adun Gunong Semanggol

Ustaz Radzi Zainon

Adun Sungai Rapat

Haji Ramli Tusin

Adun Selinsing

Thursday, May 26, 2016

Pengumuman calon Pas untuk P067 Kuala Kangsar


Calon bagi Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk pilihanraya kecil P067 Kuala Kangsar akan diumumkan malam esok, 27 Mei 2016 pada jam 9.00 malam bertempat di padang berhadapan Markaz Pas Kuala Kangsar, Bukit Chandan.

Pengumuman tersebut akan dilakukan oleh Timbalan Presiden Pas, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man bersama YB Ustaz Idris Ahmad (Naib Presiden Pas), Haji Razman Zakaria (Pesuruhjaya Pas Perak) dan juga Raja Iskandar Al-Hiss (YDP Pas Kuala Kangsar).

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir bagi bersama-sama meraikan calon  bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang akan diumumkan malam esok. 

Semoga segalanya berjalan lancar dan calon yang akan diumumkan itu menjadi pilihan seluruh warga Kuala Kangsar bagi memenangkan Pas di dalam pilihanraya kecil tersebut.

Saturday, May 21, 2016

Dua PRK: Calon Pas 'Bertenaga'


PAS akan mengenengahkan calon-calon yang ‘bertenaga’ dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Presidennya Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Syura Ulamak PAS telah meluluskan nama-nama itu dalam mesyuaratnya.

“Nama-nama sudah diluluskan Majlis Syura’ Ulama’ semalam, nama-nama dah ada.Tunggu hari pengisytiharan.

“Kita akan buat pengisytiharan. Kita akan buat pengisytiharan sebelum penamaan calon,”jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam anjuran Badan Perhubungan PAS Terengganu di Shah Alam pada Sabtu 15 Mei.

Ditanya lanjut tentang calon itu samada ‘tua atau muda’ beliau menjawab ia adalah seorang calon yang ‘bertenaga’.

Admin: Kita tunggu pengumuman calon-calon yang 'bertenaga' ini nanti. Yang PAStinya, seluruh ahli dan jentera Pas perlu bekerja keras untuk menenangkan  calon Pas di dua Prk ini.

Kutipan Dana PRK P067 Kuala Kangsar


Bersempena dengan pilihanraya kecil P067 Parlimen Kuala Kangsar yang akan berlangsung pada 5 Jun akan datang, sudilah kiranya tuan-puan dan puan-puan sekalian untuk menyumbang bagi dana PRK tersebut bagi memenangkan calon Pas di kerusi Parlimen Kuala Kangsar kali ini.

Segala sumbangan boleh disalurkan melalui akaun BIMB (Bank Islam) No. 0801-3010-0408-772.

Sumbangan anda semua didahului dengan ucapan jutaan terima kasih. Semoga Allah Taala memberkati kita semua.

Saturday, June 28, 2014

Selamat menyambut Ramadhan 2014


Esok akan bermulalah bulan baru, bulan yang mulia, bulan Ramadhan. Segala aktiviti dan gerakerja akan bernilai ibadah di samping peluang yang terbentang luas untuk memperbanyakkan amalan seharian.

Madrasah Ramadhan yang kita akan masuki esok diharapkan lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini. Cuma kita perlu tingkatkan usaha untuk mencapai kecemerlangan dan seterusnya meraih taqwa yang dijanjikan.

Ibadah puasa kali ini seelok-eloknya digunakan sepenuhnya untuk merubah gaya hidup kita ke arah yang lebih baik. Dan apabila kita keluar daripadanya, kekalkanlah segala kebaikan dan amalan yang telah dilalui selama sebulan itu. 

Bulan Ramadhan juga merupakan bulan tarbiyyah, bulan dakwah. Dengan segala kebaikan dan manfaat yang diperolehi, beserta dengan contoh terbaik sebagai seorang muslim yang kita pamerkan, mungkin ianya dapat membuka ruang dan peluang untuk yang belum muslim mendekati dan mempelajari agama suci kita, Islam.

Dikesempatan ini, saya memohon seribu kemaafan seandainya terdapat salah dan silap dari pihak diri ini. 

Marilah bersama memasuki bulan Ramadhan dengan bermaaf-maafan serta berganding bahu mempertingkatkan amalan seharian. Semoga kita semua beroleh barokah dan istiqamah dalam perjalanan harian menuju Ilahi.

Selamat Menyambut Ramadhan al Mubarak bagi tahun ini.

Wednesday, February 5, 2014

Memperingati tarikh hitam rakyat Perak dikhianati

5 Februari adalah satu tarikh yang dianggap hitam dalam sejarah negeri Perak. 

Tarikh berlakunya satu rampasan kuasa yang membelakangi sistem demokrasi amalan negara kita apabila sebuah kerajaan pilihan rakyat ditumbangkan secara rakus dan kejam. 

Mengulas perkara ini sempena memperingati hari hitam yang berlaku 6 tahun yang lalu, Pesuruhjaya Pas Perak, Tuan Haji Razman Zakaria berkata, "Peristiwa hitam yg melanda pada 5 Februari 2008 lalu yang mana menyaksikan majoriti rakyat Perak telah memilih kerajaan Pakatan Rakyat yang memenangi PRU12  telah dirampas dan digulingjan oleh Umno/BN secara tidak democratik. Umno telah melanggar undang-undang tubuh negeri Perak dengan mengangkat DS Zamri daripada  Umno walaupun pada masa yg sama DS Nizar masih lagi menjadi Menteri Besar yang sah disisi undang-undang." 

Sambung beliau lagi, " Pada PRU13 yang lepas, menyaksikan majoriti rakyat Perak iaitu 54% masih mahukan Pakatan Rakyat. Sejarah hitam ini hendaklah dijadikan peringatan untuk seluruh rakyat Perak untuk terus berjuang mengembalikan keadilan undang-undang  dan menghormati demokrasi serta pilihan rakyat. Teruskan perjuangan."

Tarikh hari ini pastinya akan dikenang sampai bila-bila sebagai satu sejarah hitam yang perlu dijadikan pengajaran agar ianya tidak berulang. 

Jentera Penerangan PAS Perak akan turut membantu menangkan calon PR di Kajang

Kemenangan ini penting untuk memastikan BN tidak akan menambah kerusi di Dun Selangor.

Soal siapa MB tidak timbul. Yang penting kerusi yang telah dikosongkan mesti diganti dengan Adun lain dari PR melalui PRK Dun Kajang. PAS Perak menyahut seruan Presiden PAS untuk menurunkan jentera bagi memastikan PR kekal menang dikerusi tersebut.  

Apapun kesilapan bekas Adun Kajang yg letak jawatan tanpa sebarang sebab tidak seharusnya dijadikan isu besar kerana pasti ada hikmah disebalik itu, paling kurang ia boleh dijadikan penilaian  tahap sokongan rakyat ke atas PR di Selangor dengan segala kemelut yg di besar-besarkan oleh media. Perletakan jawatan Adun Kajang jauh lebih bermaruah berbanding Adun-Adun yang  melompat sehingga menumbangkan sebuah kerajaan. Perbuatan melompat lebih hina dan jijik serta tidak menghormati keputusan rakyat berbanding perletakan jawatan.

Rakyat masih diberi peluang mengundi di dalam PRK kecil nanti. Siapapun yg menang kerajaan sedia ada tetap kekal kerana ia tidak mengurangkan majoriti. 

PRK juga adalah peluang untuk menjelaskan isu rakyat dalam kempen dan memberi peluang terbaik semua pemimpin dari kedua dua pihak bertemu rakyat.

Justeru itu PAS Perak menyeru semua ahli parti dan jentera pilihanraya dan penerangan turun secara berjadual bagi  memastikan kemenangan di pihak PR.

Misbahul Munir Masduki
Ketua Penerangan PAS Perak.

Pesuruhjaya Pas Perak dengar sendiri pandangan Bloggers dan Facebookers


IPOH (4 Feb) : Program 'Ramah Mesra Pesuruhjaya Pas Perak bersama Bloggers & Facebookers Pas' anjuran Lajnah Penerangan dan Huhungan Media Pas Perak dengan kerjasama Perakite telah berjaya mencapai sasaran dua hala yang ditetapkan. 

Tuan Haji Razman Zakaria selaku Pesuruhjaya Pas Perak yang baru telah  berbesar hati dan merendah diri untuk turun bersama-sama dengan para bloggers dan facebookers dari kalangan ahli Pas untuk mendengar sendiri pandangan dan saranan daripada mereka untuk dibawa ke peringkat negeri bagi melancarkan perjalanan parti di Perak ini. 


Sebelum itu, beliau sendiri telah menyampaikan hasrat dan harapan Pas Perak kepada para bloggers dan facebookers yang beliau sifatkan sebagai ejen parti dalam menyampaikan suara parti kepada awam. 

Dengan kuasa media internet masakini, Tuan Haji Razman percaya matlamat dan aktiviti Pas Perak dapat disalurkan kepada orang ramai dengan rangkaian para bloggers dan facebookers semua. 


Ketua Penerangan Pas Perak yang baru juga, Ustaz Misbahul Munir turut sama mengalu-alukan para bloggers dan facebookers Pas dalam perjalanan lajnah  pimpinannya yang kini telah berjenama baru apabila ditambah dengan Hubungan Media sebagai tugasan dan cabaran terkini. 


Program sebegini mendapat pujian daripada bloggers dan facebookers yang telah lama memendam hasrat untuk menyampaikan pandangan dan cadangan untuk tindakan parti kepada pimpinan tertinggi negeri. 

Mereka begitu teruja dan berterima kasih kepada Haji Razman yang sudi menerima  mereka serta mendengar sendiri luahan hati dan rasa mereka tanpa ada protokol yang menghalang perhubungan antara pimpinan dan ahli. 

Kehadiran lebih 30 orang bloggers dan facebookers Pas itu digunakan sepenuhnya dalam menyampaikan segala idea, pandangan, cadangan dan tidak terlepas juga teguran yang mana semuanya diterima baik oleh Pesuruhjaya dan Ketua Penerangan serta dicatit untuk tindakan parti di peringkat negeri. 

Terdapat saranan dan harapan daripada yang hadir agar program sebegini diadakan seberapa kerap yang boleh bagi menyampaikan maklumat dan pandangan secara dua hala dengan bertentangan mata dan menadah telinga. 

Program berakhir dengan beberapa rumusan dicapai yang memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak yang bertemu pada malam ini. 




Saturday, February 1, 2014

Jemputan Pesuruhjaya Pas Perak untuk semua bloggers dan facebookers Pas


Dengan sukacitanya Pas Perak menjemput para bloggers dan facebookers Pas untuk bersama dalam program 'Ramah Mesra bersama Pesuruhjaya Pas Perak, Tuan Haji Razman Zakaria' pada hari Selasa, 4 Februari 2014 jam 8.00 malam di Jade Hall (bawah pejabat Dap Perak dan berdekatan dengan Pejabat Perhubungan Pas Perak), Medan Istana, Ipoh.

Program anjuran Lajnah Penerangan dan Hubungan Media Pas Perak ini membuka peluang bagi semua bloggers dan facebookers Pas untuk lebih mendekati dan mengenali Pesuruhjaya Pas Perak yang baru sambil mendengar misi dan visi yang beliau akan sampaikan kepada anda semua.

Adalah diharapkan agar semua para bloggers dan facebookers Pas untuk hadir beramai-ramai bagi menjayakan program ini. Jemput rakan-rakan anda bersama.

Thursday, January 16, 2014

Mahkamah tolak lagi dengan kos RM60,000!


IPOH: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Lubok Merbau selepas Mahkamah Pilihan Raya di sini sekali lagi menolak petisyen yang difailkan seorang pengundi untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum (PRU13) bagi kawasan berkenaan dengan kos.

Hakim Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu selepas prosiding pendengaran bantahan awal serta hujahan yang dikemukakan pempetisyen Mohd Ridzuan Hasif serta tiga pihak responden lain selama tiga hari selesai pada minggu lepas.

Dalam penghakimannya hari ini, beliau berkata petisyen itu mempunyai kecacatan selain fakta yang dikemukakan pempetisyen tidak dijelaskan dengan sempurna.

Walaupun kes berkenaan melibatkan prinsip dan undang-undang pilihan raya, mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen yang tidak mematuhi kaedah petisyen pilihan raya selain penafsiran adalah tertakluk kepada peraturan ketat petisyen pilihan raya, katanya.

Beliau berkata mahkamah juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk meneruskan merit petisyen dengan perbicaraan penuh.

Mahkamah turut memutuskan responden pertama iaitu Datuk Siti Salmah Mat Jusak dari BN dipilih sebagai Adun Lubok Merbau dengan sewajarnya.

Abdul Rahman juga memerintahkan Mohd Ridzuan membayar RM30,000 masing-masing kepada Siti Salmah dan responden kedua iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad mengetuai barisan peguam mewakili Siti Salmah dan Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke serta Norazmi Narawi mewakili SPR.

Siti Salmah yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau merayu supaya urusan pentadbiran di pusat khidmatnya, seluruh pengundi dan penyokongnya, urusan rumah tangga serta keluarga tidak diganggu lagi oleh pihak-pihak tertentu.

"Selama lapan bulan saya tidak tenteram selain terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk urusan undang-undang bersama-sama peguam...pada pilihan raya umum 2008 apabila pembangkang menang dengan 72 undi di Lubok Merbau, BN tidak ganggu tetapi apabila pada 2013 kita menang dengan 53 undi, semua dikatakan tidak adil," katanya.

Sementara itu, Mohd Ridzuan ketika bercakap kepada penyokongnya berkata beliau akan berbincang dengan peguamnya sebelum menfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dalam tempoh dua minggu.

Pada 23 Dis lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh dan Dun Lubok Merbau diremit semula ke mahkamah pilihan raya untuk mendengar merit kes selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya yang difailkan pembangkang.

Pada PRU13, Siti Salmah, calon BN, mengalahkan calon PAS Mohd Zainudin Mohd Yusof dengan majoriti 53 undi bagi kerusi itu. - Bernama


Wednesday, January 15, 2014

PAS kecewa perjalanan perbicaraan petisyen

Dalam pilihanraya umum ke 13 yang lalu, kerusi Dun Lubuk Merbau telah ditandingi calon Pas, Haji Mohd Zainudin bin Mohd Yusof. Hasil dari keputusan pilihanraya tersebut di mana Suruhanjaya Pilihanraya telah mengisytiharkan bahawa calon Barisan Nasional, Dato' Siti Salmah binti Mat Jusak memenangi kerusi tersebut, seorang pengundi yang berdaftar di Dun Lubuk Merbau, Mohd Ridzuan bin Asit telah memfailkan petisyen pilihanraya mencabar kemenangan calon Barisan Nasional tersebut.

Pada peringkat awal di Mahkamah Pilihanraya, petisyen pilihanraya tersebut telah ditolak oleh hakim setelah pihak responden membangkitkan beberapa bantahan awal. Namun pempetisyen telah merayu ke Mahkamah Persekutuan. Pada 23.12.2013, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan dan menghantar semula kes ke Mahkamah Pilihanraya untuk dibicarakan.

Dalam situasi kebanyakan petisyen pilihanraya yg difailkan oleh Pas dan Pakatan Rakyat ditolak, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut memberikan sinar terhadap persepsi masyarakat terhadap sistem kehakiman di negara ini.

Pas Perak turut mengikuti perkembangan perbicaraan kes yang dijalankan di Mahkamah Pilihanraya di hadapan Yang Arif Dato' Abdul Rahman bin Sebli dari 08,9 dan 10 Januari 2014.

Namun sesi perbicaraan yang diharapkan bermula dengan saksi-saksi sepatutnya memberikan keterangan tidak berlaku.

Pas Perak melahirkan rasa dukacita terhadap situasi ini dan berharap agar kes petisyen didengar berdasarkan merit kes. Pas Perak juga menzahirkan sokongan terhadap pempetisyen, Mohd Ridzuan bin Asit dan berharap keadilan diberikan kepadanya.

Haji Razman Zakaria
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak

Lubok Merbau: Hakim larang peguam wakili pempetisyen

Mahkamah Pilihan Raya pada 8 Januari lalu memutuskan peguam pempetisyen dilarang daripada mewakili pempetisyen di dalam kes petisyen pilihan raya Dun Lubok Merbau dengan alasan tidak mematuhi peruntukan di bawah Kaedah 9 dan 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihanraya 1954.

Hakim, Abdul Rahman Sebli memerintahkannya selepas peguam responden diberikan kebenaran oleh mahkamah untuk membangkitkan semula bantahan awal yang pernah dibangkitkan pada perbicaraan sebelum ini.

"Apa yang kami faham, Mahkamah Persekutuan mengarahkan agar kes ini untuk dibicarakan semula.

"Sepatutnya tidak ada lagi bantahan awal boleh dibangkitkan memandangkan perkara tersebut telah dibuat sebelum ini oleh mereka dan kami telah pun membuat rayuan kepada perkara itu", kata Mohd Fitri Asmuni, salah seorang peguam yang mewakili pempetisyen ketika ditemui Harakah di lobi Mahkamah Tinggi Ipoh.

Sebelum perintah tersebut dikeluarkan, peguam pempetisyen, Chan Kok Keong telah menyatakan bahawa, sekalipun mahkamah telah membenarkan bantahan awal dibangkitkan semula, peguam responden hanya boleh membangkitkan persoalan-persoalan baru sahaja di dalam bantahan awal mereka.

Manakala persoalan yang telah dibangkitkan pada perbicaraan duhulu tidak boleh lagi dibangkitkan kembali oleh kerana perkara tersebut telah pun diputuskan oleh mahkamah persekutuan yang membenarkan rayuan pempetisyen.

Namun, mahkamah memutuskan bahawa perintah asal berkenaan dengan ketidakpatuhan peguam pempetisyen terhadap kaedah 9 dan 34 tersebut masih kekal kerana mahkamah persekutuan tidak pernah membuat keputusan ke atas isu tersebut sebaliknya keputusan tersebut menyentuh isu-isu lain.

Mahkamah juga memutuskan agar perbicaraan kes terus dijalankan walaupun pempetisyen tidak boleh lagi diwakili oleh peguam.

"Jadi, apa yg boleh dibuat sekarang ialah pempetisyen terpaksa mewakili dirinya sendiri di mahkamah dan kami akan terus cuba membantu beliau sedaya mungkin sehingga perbicaraan kes ini selesai," kata Mohd Fitri lagi.

Pada hari ketua perbicaraan, peguam hanya duduk di luar kamar iaitu tempat duduk pemerhati melihat pempetisyen mempertahankan diri sendiri berhadapan dengan barisan peguam mewakili pihak responden.

Ridzuan dengan tegas mempertahankan dirinya dan terus mendesak agar hakim yang mengadili perbicaraan tersebut ditukar.

Hakim seterusnya menangguhkan perbicaraan di hari ketiga dan akan bersambung pada 16 Januari ini.

Sebelum ini, Mohd Ridzuan Asit telah memfailkan petisyen pilihan raya Dun Lubok Merbau terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri, Dato' Siti Salmah Mat Jusak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas calon PAS, Mohd Zainudin Mohd Yusof kalah dengan majoriti tipis 53 undi.

Walaubagaimanapun, dalam perbicaraan sebelum ini, mahkamah tersebut telah menolak petisyen yang difailkan oleh pempetisyen dengan kos.

Melalui rayuan yang dibuat selepasnya, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan petisyen itu dan memerintahkan agar kes ini dibicarakan semula.

Friday, January 10, 2014

Buat laporan Polis, risau pertumpahan darah

Buat laporan Polis, risau pertumpahan darah

LENGGONG: Dewan Pemuda PAS Lenggong membuat laporan polis berhubung kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mendakwa peserta Himpunan Turun adalah bughah dan halal darah mereka.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Lenggong 7 Januari lalu.

Menurut Ketua Dewan Pemudanya, Ustaz Muhammad Rifaat Razman Al-Hafiz, pihaknya membuat laporan polis kerana berpendapat kenyataan dikeluarkan oleh Harussani tidak tepat dan dibimbangi akan menyebabkan berlakunya pertumpahan darah keatas rakyat dan umat Islam di Negara ini.

"Kenyataan beliau (Harussani) itu tidak betul kerana perhimpunan yang diadakan itu adalah perhimpunan aman yang dijamin oleh perlembagaan Persekutuan menurut perkara 10 akta himpunan aman. 

"Dan sepatutnya kedudukan beliau sebagai seorang mufti yang dihormati lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan umum," katanya.

Jelas beliau, Pemuda PAS sangat khuatir mengenai kenyataan dikeluarkan mufti itu akan menyebabkan masyarakat salah tafsir bahawa ianya adalah fatwa daripada seorang mufti.

Rifaat berkata, ianya boleh memberikan kesan buruk kepada kepada masyarakat dan rakyat di negara ini untuk melakukan pembunuhan dan pertumpahan darah serta menimbulkan ketegangan kepada orang-ramai. 

Sedangkan kata beliau, tidak ada mana-mana peruntukan undang-undang di ngara ini yang boleh mengambil nyawa seseorang seperti itu.

"Kami laporkan ini demi kepentingan dan keselamatan rakyat yang rasa tidak berpuas hati dengan mengadakan himpunan aman berikutan kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup pada malam itu. 

"Kami menyuarakan kebimbangan berlakunya kejadian buruk diatas kenyataan berbaur hasutan dikeluarkan oleh beliau untuk menimbulkan suasana tidak aman di Negara ini," tegasnya.

Jelasnya, PAS meminta pihak polis membuat siasatan segera bagi meredakan keresahan orang-ramai pada ketika ini.

Thursday, January 2, 2014

Tahun Baru: Kerajaan disaran bermuhasabah


Dalam menyambut tahun baru ini, kerajaan Pusat digesa memuhasabah kegagalan mereka memimpin negara dengan baik terutama pasca Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, rakyat ketika ini sangat kecewa dengan kerajaan yang gagal mengurus ekonomi dan pendapatan negara dengan baik hingga menyebabkan terpaksa menaikkan pelbagai harga termasuklah minyak petrol dan yang terbaru tarif elektrik.

Menurutnya, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak perlu mengakui bahawa majoriti rakyat dalam keadaan tekanan oleh kerana peningkatan kos kehidupan ketika ini yang memberikan bebanan besar khususnya golongan berpendapatan rendah.

"Kerajaan BN perlu memuhasabah kembali kenapa rakyat menzahirkan rungutan dan ketidakpuashatian mereka berhubung kegagalan mentadbir negara.

"Ini membuktikan kerajaan gagal memerintah dengan baik dan segala janji mereka untuk mengutamakan rakyat hanyalah bohong semata-mata," katanya.

Misbahul berkata, rakyat akan melalui satu proses paling mencabar untuk tahun 2014 ini apabila ramai yang menjangkakan kos kehidupan akan terus meningkat.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar kerajaan lebih rasional dengan mendengar segala teguran dan saranan oleh mana-mana pihak termasuklah daripada Pakatan Rakyat bagi menyelesaikan permasalahan rakyat yang sedang dibelenggu kini.

"Saya berharap, tahun baru ini kerajaan akan melahirkan satu tekad untuk melakukan perubahan dalam pentadbirannya ke arah yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat.

"Tekanan yang dilalui oleh rakyat ketika ini seharusnya turut dirasai dan diinsafi oleh kerajaan yang terbukti gagal untuk memimpin rakyat dengan baik," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Misbahul mengharapkan rakyat agar tidak tunduk untuk terus menyatakan ketidakpuashatian mereka terhadap kerajaan BN yang telah mencabuli amanah yang diberikan kepada mereka.

Tegasnya, kerajaan dalam keadaan tertekan apabila rakyat daripada pelbagai lapisan sudah berani untuk menyatakan ketidakpuashatian mereka terhadap kebrobrokan mereka dalam pemerintahannya.

"Tekadkan azam bagi melahirkan satu semangat untuk berubah ke arah lebih baik bersama PAS dan Pakatan Rakyat," jelasnya lagi.

PAS Bagan Datoh prihatin bantu persiapan persekolahan

Tanda keprihatinan, PAS Kawasan Bagan Datoh dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS kawasan telah menyumbang bantuan kepada pelajar-pelajar dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan bagi menghadapi permulaan persekolahan tahun hadapan.

Program yang diberi nama 'back to school' ini telah diadakan pada 24 Disember lalu membabitkan seramai kira-kira 30 orang pelajar.

Skuad kebajikan itu telah membawa pelajar-pelajar ke sebuah kedai di Simpang Empat, Hutan Melintang, Bagan Datoh bagi memberi peluang kepada mereka untuk memilih keperluan masing-masing dengan peruntukkan sebanyak RM100 bagi setiap seorang.

Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datoh, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, pihaknya telah mengenalpasti keluarga-keluarga di dalam kawasan itu yang benar-benar memerlukan bantuan.

"Di dalam kawasan Bagan Datoh ini, terdapat ramai lagi keluarga yang miskin dan tidak mendapat pembelaan sepatutnya.

"Mereka akan merasai keperitan setiap kali menjelang pembukaan persekolahan," katanya.

Justeru itu, Ketua Penerangan PAS Perak itu berkata, pihaknya setiap tahun tampil menghulurkan bantuan sedaya mampu bagi mengurangkan beban mereka.

Jelas Misbahul, nasib mereka dibebankan lagi dengan kos kehidupan dan barangan yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

"PAS akan membantu sedaya mampu untuk membantu masyarakat yang memerlukan dengan kemampuan yang ada selaras dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperjuangan PAS," jelasnya lagi.

Pemuda PAS Sungai Siput bantu persiapan persekolahan

SUNGAI SIPUT: Bagi keluarga yang miskin, pastinya buntu apabila memikirkan persiapan anak-anak mereka menjelang pembukaan persekolahan sesi depan.

Namun kelangsungan itu perlu diteruskan walaupun kurang berkemampuan demi masa depan anak-anak mereka.

Menyedari jerih perih itu, Dewan Pemuda PAS Sungai Siput tampil dengan rasa tanggungjawab membantu 20 pelajar daripada 10 buah keluarga yang kurang berkemampuan.

Program rutin tahunan yang diadakan pada 25 Disember lalu itu diketui oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Sungai Siput, Ustaz Isran Fahmi bersama ahli jawatankuasanya.

Pelajar-pelajar yang terpilih itu telah dibawa ke pasaraya untuk mereka sendiri memilih kelengkapan masing-masing untuk menghadapi persekolahan sesi baru ini.

Kegembiraan jelas terpancar di riak wajah mereka yang sangat mengimpikan mendapat memulakan persekolahan dengan serba lengkap seperti rakan-rakan mereka yang lain.

Ustaz Isran berkata, PAS sebagai parti Islam yang mengutamakan aspek kebajikan sememangnya merasai tanggungjawab untuk membantu masyarakat sekeliling.

Kata beliau, kurangnya dana tidak menjadi satu alasan untuk PAS tidak menganjurkan program-program kebajikan sebegini. 

"Semua kelihatan gembira apabila kesusahan mereka diambil berat oleh PAS walaupun bantuan tersebut bukanlah satu angka yang besar.

"Kebajikan ini adalah satu ibadah besar lebih-lebih lagi dalam membantu golongan yang sangat memerlukan seperti mereka ini," katanya.

Isran berkata, PAS mengakui, peningkatan kos kehidupan disebabkan pelbagai kenaikan yang dibuat oleh kerajaan telah memberikan kesan kepada golongan miskin terutama dalam membuat persiapan persekolahan.

Jelasnya, masyarakat marhaen yang berpendapatan perkapita rendah adalah golongan yang paling merasai keperitan tersebut dan ianya sudah pasti menjejaskan kelangsungan kehidupan anak-anak serta keluarga mereka.

Friday, December 27, 2013

Tahun Baru: Perak perlu contohi negeri PR!

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menggesa kerajaan negeri serius dalam membasmi gejala sosial khususnya generasi muda pada sambutan tahun baru nanti.

“Jika dilihat pada setiap tahun, Pemuda PAS tidak nampak keseriusan kerajaan untuk membasmi masalah itu sebaliknya mengundang kepada masalah itu berleluasa dengan penganjuran program-program yang tidak menepati syarak.

“Ianya juga sekali gus melanggar etika yang digariskan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Mohd Syamsul Alaudin.

Justeru, kata beliau pihaknya menggesa kerajaan negeri melalui agensinya termasuklah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) agar lebih proaktif untuk meninjau perjalanan sambutan tahun baru khususnya di kawasan-kawasan tumpuan masyarakat agar aktiviti maksiat tidak sewenang-wenangnya berlaku.

Katanya, dalam penganjuran program sambutan tahun baru pada tahun-tahun sebelum ini, kerajaan negeri langsung tidak sensitif dengan batasan agama apabila perjalanan program tersebut tidak menepati garis panduan yang diajar oleh Islam.

“Kerajaan Negeri Perak seharusnya mencontohi Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang menganjurkan program-program bersifat keagamaan di malam tahun baru dengan menampilkan tokoh agamawan dan selebriti yang menjadi tarikan ke arah kebaikan,” katanya lagi.

Ini, ujar beliau secara tidak langsung mengurangkan kes gejala sosial di samping menarik minat masyarakat khususnya generasi muda untuk bersama-sama ke majlis yang lebih bermanfaat.

“Malam tahun baru ini adalah salah satu medan dakwah kepada masyarakat melalui penganjuran program-program bermanfaat namun ianya terletak kepada kebijaksaan kerajaan,” katanya.

Justeru, ujarnya Pemuda PAS negeri memberikan harapan tinggi kepada kerajaan untuk mengerjakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin pada malam tahun baru ini.

“Pemuda PAS akan turun meninjau di samping mengambil peluang itu untuk menyebarkan dakwah di dalam kelompok masyarakat nanti,” kata beliau.

Advertise