Wednesday, November 13, 2013

UiTM: Wahai Zahid, mana janji kamu?

UITM BAGAN DATOH: MANA PROJEK INI?

Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak sekali lagi mendedahkan rungutan rakyat di Parlimen Kawasan Bagan Datoh setelah pengumuman bagi pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sana oleh Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada bulan Mei 2010 yang lalu masih belum kunjung tiba. UiTM yang dikatakan akan membuka sebuah lagi kampus cawangannya yang ketiga di Perak iaitu di Bagan Datoh yang sebelum ini telah ada kampus di Seri Iskandar dan kampus kedua di Tapah telah menghampiri penghujung tahun 2013 dan masih belum ada tanda-tanda pembangunannya di sana.

Kami difahamkan projek yang menelan belanja RM 250 Juta yang terletak di kawasan seluas 40 hektar itu dan ianya dijangka siap pada tahun 2013 serta  bakal menempatkan kira-kira 5,000 pelajar kelak. Pengumuman Dato’ Seri Zahid tersebut memberikan tanda tanya rakyat di sana, adakah projek ini akan bakal dibina? Jika sebelum ini isu projek Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) turut juga menjadi persoalan dan rungutan rakyat Parlimen Bagan Datoh, kini isu projek UiTM pula telah acap kali diperkatakan oleh mereka. Adakah ianya masih diperingkat kajian lagi pembinaannya? Telah adakah tapak yang sesuai sepertimana tapak projek MRSM yang masih belum kelihatan?

Kami melihat projek UiTM ini bukan sahaja sebagai wadah anak bumiputra mendapatkan pendidikan tinggi terutamanya di Bagan Datoh, tetapi ianya juga sebagai mercu tanda baru di Bagan Datoh yang selama ini mundur dan tidak membangun walaupun Ahli Parlimennya sebagai Menteri Dalam Negeri kini dan sebelum ini sebagai Menteri Pertahanan. Malah dengan kedudukannya sebagai bakal Naib Presiden Umno juga dilihat kegagalannya membangunkan Bagan Datoh yang masih belum menemui ‘sentuhan’ yang diharapkan oleh penduduk Parlimen Bagan Datoh yang selama ini mengharapkan ‘sinar’ yang cerah!


SALMAN HAJI SALEH
Koordinator,
Jawatankuasa Isu dan Strategik,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

Advertise