Wednesday, November 13, 2013

ADUN LOMPAT: PAS PERAK PANDANG SERIUS!



ADUN LOMPAT: PAS PERAK PANDANG SERIUS!
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak memandang serius perkembangan mutakhir politik Negeri Perak ekoran penafian Menteri Besar Negeri Perak, Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir yang menolak desas-desus akan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) Negeri Perak yang akan melompat parti susulan daripada satu pertemuan yang diadakan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh baru-baru ini. 

Perkembangan ini akan mencetuskan suasana yang seakan-akan serupa dengan apa yang telah berlaku sebelum ini pada tahun 2009 yang memerlukan Pakatan Rakyat (PR) Perak bersedia dengan apa-apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku kelak.

Kami mengharapkan semua ADUN PR agar berhati-hati dan menerima arahan dari masa ke semasa dari pimpinan PR Perak dalam suasana yang getir ini. Kami juga merasakan bahawa sewajarnya Datuk Seri Zambry membuat laporan Polis bagi menafikan 'khabar angin' tersebut jika benar ianya palsu dan tidak benar. 

Bagi kami, ianya merupakan satu perkembangan yang tidak sihat kerana ianya boleh mengakibatkan ketidakstabilan politik dan ekonomi di negeri Perak sepertimana yang berlaku di tragedi 'Rampasan Kuasa' pada tahun 2009 lalu. 

Sebagai sebuah pakatan yang berintegriti, PR Perak sudah pasti tidak akan mengulangi sejarah hitam tersebut dan diharapkan di pihak BN Perak juga tidak perlu menafikan pilihan Rakyat dengan mencadangkan pembubaran DUN supaya pemerintahan negeri ini tidak dibina diatas dasar pengkhianatan amanah yang diberikan rakyat Perak.

Bagi kami juga, ianya merupakan perkembangan politik yang sudah dijangka berikutan kedudukan kerusi DUN Perak yang tidak memberikan kemenangan 'mutlak dan selesa' kepada BN Perak. 

Dari sudut yang lain ianya membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk membuat percaturan politik sepertimana yang pernah berlaku dahulu. Ini sebagai pengajaran kepada mana-mana parti agar memastikan semua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) adalah benar-benar bersih dan berpegang kuat kepada dasar dan prinsip parti mereka sahaja. 

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 25 November ini nanti amat dinanti-nantikan oleh banyak pihak jika benar ada usul tidak percaya kepada Menteri Besar yang akan dibentangkan!

  
DR AHMAD NURI AL-AMIN
Ketua Penerangan,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak

3 comments:

Advertise