Tuesday, October 8, 2013

Raja Iskandar kekal YDP, dapat sokongan padu ahli

KUALA KANGSAR: Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss kekal sebagai Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar buat penggal kedua apabila mendapat sokongan padu daripada ke semua cawangan di kawasan itu.

Beliau mendapat 26 pencalonan daripada 26 cawangan sekali gus menang tanpa bertanding.

Timbalan YDP pula menyaksikan pertembungan antara penyandang, Burhanuddin Ahmad dengan Mantan Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim namun Burhanuddin berjaya mengekalkan jawatannya.

Naib Yang Dipertua pula disandang oleh Mustapa Azmi yang sebelum ini bendahari apabila berjaya mendapat undi majoriti menewaskan seorang pencabar.

Enam belas jawatan AJK pula dimenangi oleh Saiful Dawam, Jamil Zulkarnain, Kamarul Bahrin, Ahmad Fuad, Rahimah Musa, Ustaz Ahmad Asri, Dr Nor Daim, Hussin Pahlawi, Ali Johari Ahmad, Abd Wahab Saperi, Hasnul Zulkarnain, Ahmad Khomenei, Ahmad Fadzil, Drs Khalil Idham Lim, Napisyah Mohamad, dan Noor Hafiza Ahmad.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kuala Kangsar kali ke-47 itu diadakan di Kompleks PAS Kuala Kangsar pada 21 September lalu.

Ianya telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga AJK PAS Pusat, Datuk Nik Amar Nik Abdullah.

Hadir sama ialah AJK PAS Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin mewakili PAS Perak.

Dr Raja ketika ditemui berkata, beliau menerima keputusan tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab dan menganggap ianya adalah satu amanah besar daripada ahli.

Katanya, beliau akan berusaha berkhidmat sebaik mungkin dengan kerjasama erat antara pimpinan lain dalam memastikan PAS di Kuala Kangsar menjadi satu organisasi yang kuat. 

"Memimpin sebuah gerakan Islam ini adalah satu tugas yang berat, namun amanah yang diberikan oleh Allah harus dipikul sebaiknya.

"Saya yakin, kerjasama antara pucuk pimpinan yang dipilih bersama ahli akan mewujudkan satu kekuatan dalam meneruskan misi memartabatkan Islam di muka bumi ini khususnya di Kuala Kangsar.

Matlamat utama PAS Kuala Kangsar katanya adalah menarik seramai mungkin masyarakat bersama PAS disamping mengukuhkan kekuatan para pendokong bagi memastikan PAS akan berjaya merampas kerusi Dun Manong dan parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

0 comments:

Advertise