Tuesday, October 8, 2013

Lima kawasan di Perak pertaruh YDP baru

IPOH: Lima daripada 25 kawasan di Perak telah membuat perubahan di jawatan Yang Dipertua (YDP) dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan bagi sesi 2013-2015 tahun ini.

Kawasan tersebut ialah Batu Gajah, Larut, Tapah, Padang Rengas dan Sungai Siput.

Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin telah dinaikkan 'pangkat' ke jawatan YDP Kawasan Batu Gajah apabila menang tanpa bertanding dan beliau sebelum ini memenang jawatan Timbalan YDP.

YDP sebelum ini, Ismail Ariffin menang jawatan Timbalan YDP manakala Rosdy Abdullah kekal sebagai Naib YDP setelah mendapat undi tertinggi dalam pertembungan tiga penjuru.

Ketua Urusan Ulamak pula dipegang oleh Dr MUhamMad Pisol Mat Isa apabila menang tanda bertanding.

Walaupun ada persaingan dengan mengambil kira pencalonan daripada cawangan-cawangan, namun perjalanan Mesyuarat Agung PAS Batu Gajah kali ke yang diadakan pada 29 September lalu berjalan dengan penuh harmoni.

'Orang lama', Osman Maseri pula diberikan amanah kembali menerajui kepimpinan PAS Tapah apabila menang untuk jawatan YDP dalam pertandingan dua penjuru.
Osman yang juga Bendahari PAS Perak pernah memegang jawatan YDP beberapa penggal lalu sebelum digantikan oleh Rahim Nordin selama dua penggal dan kini beliau kembali untuk memegang amanah itu.

Dzulbahrain Jalun menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan YDP manakala Ustaz Malek Mohamad diamanahkan memegang jawatan Naib YDP apabila mendapat undian tertinggi dalam pertarungan dua penjuru.

Ustaz Muhaimin Abdul Malik pula menang jawatan Ketua Urusan Ulamak dalam pertandingan empat penjuru.

Barisan AJK pula majoritinya muka lama yang dikekalkan disamping suntikan kekuatan oleh beberapa orang baru yang dipilih oleh perwakilan dalam Mesyuarat Agung kali ke-26 yang diadakan pada 15 September lalu.

Sementara itu, Larut telah menampilkan pemimpin segar bagi ketiga-tiga jawatan tertinggi dalam misi memperkasakan lagi PAS di kawasan itu.

Dalam Mesyuarat Agung PAS kawasan Larut kali ke-51 pada 29 September lalu, Ustaz Toreq Zainordin menang dalam pemilihan jawatan YDP, Timbalan pula ialah Ustaz Akmal Kamaruddin dan Abu Husin yang sebelum ini Setiausaha menang sebagai Naib YDP.

Ustaz Toreq, Ustaz Akmal dan Abu Husin menang apabila mengalahkan pencabar masing-masing manakala YDP sebelum ini, Dr Mohd Dhari Othman mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya.

Pemilihan muka baru ini sudah pasti diharap dapat memperkuatkan lagi gerak kerja bagi meningkatkan lagi sokongan rakyat kepada PAS di Larut apabila sedikit merudum dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Dalam perkembangan sama, PAS Kawasan Padang Rengas turut membuat perubahan besar dalam tampuk kepimpinan tertinggi apabila menampilkan muka baru, Mohd Shukri Mat Amin sebagai jawatan YDP.

Timbalan YDP juga turut disandang muka baru iaitu Mohd Fadzil Jamaluddin manakala mantan calon PAS pada PRU13 lalu di Dun Chenderoh, Dr Azalan Radzi memegang jawatan Naib YDP.

Ketiga-tiga jawatan itu dipilih sebulat suara oleh seluruh ahli tanpa sebarang pertandingan berlaku.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan Padang Rengas yang diadakan pada 16 September itu juga telah menganugerahkan Ustaz Mohd Yassin Mohd Yusof iaitu Mantan YDP serta 1calon PAS Dun Chenderoh pada pilihanraya tahun 2008 lalu sebagai Tokoh PAS Padang Rengas.

Perkembangan Mesyuarat Agung PAS Sungai Siput kali ke-45 yang diadakan pada 29 September lalu pula, Ustaz Zulkifli Ahmad kembali memegang jawatan YDP manakala Mohd Rosni Abu Bakar dipilih sebagai Timbalan YDP manakala Naib YDP diamanahkan oleh perwakilan kepada Hassan Shariff.

Ketua Urusan Ulamak pula dipertanggungjawabkan kepada Ustaz Mohd Fadhil Abdul Rahman.

Kesemua jawatan itu telah dilantik secara harmoni yang disepakati oleh ahli dikawasan itu apabila tanpa sebarang pertandingan yang berlaku.

PAS Pusat telah menetapkan tarikh bermula 12 Ogos hingga 30 September untuk PAS kawasan menyempurnakan mesyuarat agung kawasan masing-masing dan hampir keseluruhan kawasan di Perak telah selesai mengadakannya.

0 comments:

Advertise