IPOH: Teruskan perjuangan, teruskan perjuangan dan teruskan perjuangan! Jangan berputus asa untuk berjuang menentang kerajaan zalim," demikian pesanan daripada 13 mangsa tahanan yang sedang ditahan di penjara Tapah ketika ini.
Pesanan tersebut dikirim oleh seorang mangsa, Bad Latif Mansor kepada Isterinya, Nashita Md Noor ketika diberi peluang melawatnya pagi ini.
Beliau dibenarkan melawat bersama-sama tiga orang anaknya serta ahli keluarga mangsa tahanan yang lain.
Nashita berkata, semangat kesemua mangsa tahanan sangat kuat dan tidak pernah luntur walaupun dikenakan hukuman penjara.
Menurutnya, mereka mengatakan hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka adalah satu pengorbanan kepada masyarakat dan mengharapkan ianya menjadi satu semangat untuk terus berjuang.
"Suami saya menangis ketika saya hadir, tetapi semangat juangnya tidak pernah luntur.
"Persoalan dari mereka apakah kita di luar dapat kekalkan momentum perjuangan dan desakan sekiranya ditakdirkan dua tahun mereka disebalik tembok penjara.
"Suami saya kata beliau rela dipenjarakan jika inilah perjuangan dan pengorbanan untuk rakyat bangkit melihat kezaliman.
"Beliau mengharapkan agar semua yang diluar dapat mendoakan kesejahteraan mereka dan terus berjuang disepanjang mereka dipenjara," katanya ketika berucap di luar penjara selepas selesai melawat.
Menurutnya, ke semua mereka dimasukkan dalam satu bilik sekali kecuali seorang yang dihantar ke Penjara Kuala Kangsar akibat masalah teknikal serta seorang mangsa muslimat di bilik berasingan.
"Setiap masa mereka sentiasa bersama, mereka tinggal satu bilik sekali. Mereka solat berjemaah bersama, tahajjut bersama, berzikir, menyampaikan kuliah, dan mengaji bersama.
"Mereka dipakaikan baju merah bermakna ianya adalah satu gred kesalahan paling berat bermakna ianya setara dengan kesalahan penjenanyah besar.
"Kami selepas ini hanya dibenarkan melawat sebulan sekali kerana ianya diklasifikasikan sebagai peringkat merah," jelas Nashita yang juga Aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).
Menurutnya, mereka semua telah membayangkan bahawa hukuman yang dijatuhkan terhadap mereka kekal dan sudah bersedia dari segi mental untuk menghadapinya.
Namun katanya, mereka mengharapkan masyarakat khususnya para penyokong dapat berdoa agar tindakan susulan oleh pihak peguam akan berjaya.
Dalam pada itu, seorang lagi isteri mangsa tahanan, Laila mengucapkan jutaan terima kepada semua kerana memberikan sokongan padu kepada suaminya serta tahanan yang lain.
Menurutnya, beliau tidak sangka, diusia 59 tahun, suaminya, Isha Riduan Ishak, 59, dizalimi dengan dijatuhkan hukuman penjara.
Beliau menyatakan, suaminya itu mengalami kanser tiroid dan perlu menerima rawatan di Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Namun jelas beliau, ianya telah dimaklumkan dan keseleruhan proses rawatan itu akan diuruskan oleh penjara.
"Saya tabah kerana saya tahu suami saya seorang pejuang dan beliau di medan harakah yang benar," jelas beliau dengan penuh semangat.
Dalam perkembangan berkaitan, Aini Syawati iaitu kakak kepada mangsa tahanan muslimat, Suhana berkata, beliau telah berpesan dan memberi semangat kepada adiknya agar terus tabah dalam menghadapi dugaan ini.
Menurut beliau, suhana adalah ibu tunggal kepada 3 anak dan salah seorang daripadanya mengalami masalah mental.
"Saya cakap dengan suhana, awak jangan menangis kerana perjuangan awak, kalau nak nangis, nangislah kerana awak dipenjarakan. Awak adalah pejuang yang hebat," jelas beliau.
Hadir sama memberikan sokongan ialah kartunis, Zunar, Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin, Ketua Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussolehah dan para penyokong serta aktivis masyarakat.
0 comments:
Post a Comment