Wednesday, September 18, 2013

PAS duka cita terhadap nasib 13 tahanan

IPOH: Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki menyifatkan, hukuman yang dikenakan terhadap 13 aktivis yang menyertai demontrasi di hadapan Masjid Ubudiah,Bukit Chandan ketika krisis politik Perak tahun 2009 lalu adalah sangat mendukacitakan.

Menurutnya, hukuman penjara dua tahun serta denda RM5000 adalah tidak wajar kerana ianya tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Beliau beranggapan, mereka bukanlah penjenayah besar seperti perompak, perogol, pembunuh mahupun perasuah sehinggakan terpaksa menjatuhkan hukuman sedemikian rupa.

Katanya, lebih teruk lagi apabila hakim enggan membenarkan hukuman penjara ditangguh sementara peguam membuat rayuan di mahkamah tinggi.

"Mereka adalah sebahagian daripada rakyat Perak yang tidak berpuas hati dengan tindakan zalim BN merampas kuasa pemerintahan daripada kerajaan Pakatan Rakyat secara tidak demokratik.

"Mereka hanya hadir menuntut hak mereka dikembalikan, mereka mahu Dun Perak dibubarkan dan menangguhkan upacara angkat sumpah yang dijadualkan berlangsung pada hari itu," katanya ketika ditemui Harakah 15 September lalu.

Beliau merasakan, hukuman penjara serta merta yang dijatuhkan itu adalah merupakan satu kezaliman besar terhadap rakyat sedangkan masih ramai lagi penjenayah yang masih bermaharaja lela di negara ini.

Katanya, ini adalah satu lagi episod buruk dalam sistem kehakiman serta arena politik di negara ini yang seolah-olah ada kepincangan yang berlaku.

"PAS Perak duka cita sangat kesal dengan keputusan yang dikeluarkan oleh hakim kerana ianya tidak masuk akal.

"Saya ada ketika keputusan mahkamah itu, kami sangat terkejut dengan keputusan tersebut dan ianya diluar jangkaan kami," jelasnya.

Misbah menyeru agar seluruh rakyat Malaysia dapat terus bersolidariti tanda kebersamaan terhadap 13 aktivis itu dan berharap dapat bersama-sama membantu meringankan beban keluarga mereka.

0 comments:

Advertise