Oleh MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR
IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengajak seluruh ahlinya bersama-sama menyertai Multaqa Ulamak Semalaysia yang dijadualkan berlangsung pada 14 September ini di di Markaz PAS Kedah, Kota Sarang Semut.
"Saya mengalu-alukan pemerhati dalam kalangan Pemuda PAS negeri Perak untuk turut hadir ke program berkenaan.
"Semoga kehadiran kita dengan niat yang ikhlas diberkati dan diredhai Allah," kata Ketuanya, Ustaz Zawawi Hassan kepada Harakah.
Menurutnya, golongan terpenting bagi membentuk serta membimbing masyarakat ialah golongan ulamak dan merekalah yang bertanggungjawab memastikan masyarakat mengikut jalan yang lurus dalam perjalanan menuju matlamat yang digariskan oleh Islam, iaitu keredhaan Allah di dunia dan akhirat.
Ini kerana katanya, mereka mewarisi ilmu dan perjuangan para anbiya’ dan dalam konteks ini mereka laksana bintang-bintang di langit yang menjadi panduan para pelaut dalam pelayaran mereka.
"Ulamak juga diibaratkan sebagai penyuluh untuk rakyat melalui jalan kebenaran dan jalan kebenaran tersebut pastinya adalah bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah.
"Golongan yang paling layak untuk menjadi penyuluh jalan kebenaran ini adalah para ulamak yang mewarisi amanah ilmu daripada para Nabi dan Rasul untuk melaksanakan tugas tersebut," jelas Adun Gunong Semanggol itu.
Ujar Zawawi, masyarakat hendaklah sentiasa mendampingi para ulamak untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu dari mereka dan sekiranya timbul sebarang persoalan serta masalah yang berkaitan dengan Islam maka hendaklah terus untuk bertemu dan bertanya para ulamak.
Justeru katanya, institusi ulamak perlu diangkat dan diletakkan di tempat yang sepatutnya bersesuaian dengan taraf mereka sebagai pewaris para nabi.
0 comments:
Post a Comment