Monday, September 9, 2013

Tak jawab satu soalan, bayar RM100 : Radzi sokongan cadangan Nga Kor Ming

Adun Sungai Rapat, Radzi Zainon berasa kesal dengan keadaan persidangan Dewan Undangan (Dun) Perak yang kelihatan tidak serius dan efisyen.

Ini kerana katanya banyak soalan yang dikemukakan oleh Adun pembangkang tidak dijawab oleh pihak Kerajaan yang diketuai Menteri Besar, Dato' Seri Dr Zambry Abd Kadir.

"Adalah perlu ditegaskan bahawa, peranan wakil rakyat bukan sekadar mewakili rakyat dalam persidangan Dun sahaja sebaliknya berperanan sebagai jurubicara rakyat dan memainkan peranan aktif dalam setiap sesi soal jawab.

"Hal ini penting kerana persidangan ini menentukan dasar, polisi dan hala tuju negeri Perak," katanya.

Jelasnya, beliau secara peribadi menyokong penuh saranan yang pernah dibuat oleh Adun Kepayang, Nga Kor Ming yang menyarankan agar gaji Menteri Besar dipotong RM100 bagi setiap soalan Adun jika tidak tidak djawab.

Tegasnya, walaupun nilai RM100 mungkin dipandang remeh dan picisan tetapi ia adalah simbolik kepada ketidak telusan dan kekeringan 'accountability' dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

"Sejarah mencatatkan betapa Khalifah islam sebelum ini ada yang ditegur menggunakan pedang disebabkan saranan yang diutarakan itu terlalu penting untuk rakyat.

"Di Malaysia kita tidak berhujah dengan senjata, maka jadikanlah medan Dun sebagai medan interaktif dan sihat demi kemaslahatan dan kemakmuran rakyat," jelasnya lagi.

Justeru, Radzi menggesa agar perkara sebegini tidak berulang dan pihak kerajaan perlu menganggap pembangkang sebagai timbal balik yang positif kepada setiap keputusan kerajaan.

Advertise