Tuesday, September 10, 2013

Rakyat Perak bantah kenaikan harga minyak

Rakyat Perak menzahirkan rasa kecewa dengan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen oleh kerajaan BN dengan mengadakan flashmob di beberapa buah tempat pada 7 dan 8 September lalu.

Antara lokasi yang menjadi pilihan ialah Bandaraya Ipoh, Station 18, Parit Buntar dan Gopeng.

Bantahan aman itu majoritinya terdiri dari kalangan anak muda yang prihatin dengan keperitan yang dialami oleh rakyat Malaysia kesan daripada tindakan kerajaan menaikkan harga bahan bakar itu.

Di Station 18 iaitu tempat berlakunya tragedi flashmob berdarah pada PRU13 lalu, suasana sangat meriah dengan pelbagai sepanduk dinaikkan antanya "turunkan harga minyak", "kasihanilah rakyat", "tekan hon tanda bantah" dan sebagainya.

Respon masyarakat terhadap bantahan itu sangat baik dengan pekikan bising bunyi hon kedengaran di lokasi itu serta isyarat spontan daripada pengguna jalan raya.

Salah seorang peserta, Ahmad Firdaus, 20, berkata, flashmob ini dibuat bagi mewakili suara hati rakyat Malaysia khususnya anak muda yang dianiaya dan dizalimi oleh kerajaan.

Menurutnya, rakyat ketika ini sedang terbeban dengan kos kehidupan yang sangat tinggi ditambah lagi suasana ekonomi sedang dalam keadaan tidak stabil.

"Rakyat khususnya anak muda mengharapkan kerajaan akan merealisasikan janji PRU13 iaitu mengurangkan beban rakyat namun apa yang mereka (kerajaan) buat ialah menambahkan beban rakyat dengan menaikkan harga minyak," katanya ketika ditemui di lokasi flashmob.
Dalam pada itu, flashmob di bandar Parit Buntar tidak kurang meriahnya apabila ramai anak muda lelaki dan wanita yang prihatin menyertai bantahan itu.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak berkata, mereka ini adalah wakil suara majoriti rakyat yang kecewa apabila bakal menerima kesan akibat kenaikan harga minyak.

“Flashmob ini adalah bantahan ‘diam’ oleh anak muda yang dinafikan hak dan dibisukan suara mereka.

“Kami  mengadakan secara aman tanpa sebarang provokasi dan gangguan kepada keamanan dan keselesaan orang ramai," jelasnya lagi.

Tegas beliau, keprihatinan ini membuktikan bahawa rakyat tidak lagi hanya meredhakan sahaja segala perkara yang dilakukan kerajaan.

2 comments:

Advertise