Tuesday, September 3, 2013

Perutusan Kemerdekaan Ketua Pemuda PAS Perak

PERUTUSAN RASMI DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERAK BERSEMPENA KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 56.

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.

Kemerdekaan merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat manusia di atas muka bumi-Nya ini. Namun begitu, nikmat kemerdekaan ini bukanlah dapat dirasai sepenuhnya oleh semua golongan manusia. Kita dapat melihat bagaimana sesetengah manusia pada hari ini menjadi hamba kepada habuan dunia.

Persoalan kemerdekaan pada hari ini bukan sahaja mengenai pembebasan dari penjajahan kuasa asing , tetapi yang lebih utama adalah persoalan mengenai kemerdekaan minda dan pemikiran. Setelah 56 tahun kemerdekaan negara ini dikecapi, masih terdapat masyarakat kita yang rosak akhlaknya, masih ramai masyarakat kita yang mengagungkan budaya hidup songsang , bahkan sebahagian umat Islam pada hari ini di pelbagai lapisan dan peringkat masih lagi dijajah minda dan pemikiran mereka yang dipelopori oleh golongan musuh Islam.

Sejarah tidak mampu menafikan peranan ulamak sebagai penggerak dan perintis utama menentang penjajah dan memandu masyarakat untuk menuntut kemerdekaan. Catatan sejarah juga membuktikan wujudnya perjuangan golongan agama bangun menyedarkan masyarakat . Melihat pengaruh golongan agama dan institusi ulama ketika itu semakin mendapat dokongan rakyat, memaksa pihak penjajah cuba menimbulkan pelbagai fitnah dengan melabelkan golongan ini sebagai radikal, penentang dan sebagainya.

Justeru , saya menyeru seluruh rakyat agar menyambut kemerdekaan kita dengan patuh kepada ajaran Islam dan melaksanakannya dengan sempurna. Kita perlu membebaskan diri , jiwa dan raga dari bid’aah dan kepalsuan, budaya dan adat, fahaman dan fikrah akal manusia, kejahilan dan kebodohan taqlid buta, khabar angin dan fitnah, dari umpatan keji kepada nasihat berguna dan berhikmah.

Kemerdekaan menjadi ibadah, satu kewajipan, kebaikan dan berpahala serta dianggap sebagai usaha kebajikan apabila ianya merupakan kebebasan yang membebaskan manusia dari kejahilan, kesesatan, penghambaan dan pengabdian sesama manusia kepada pengabdian kepada Allah SWT. Sekiranya kemerdekaan yang disambut membebaskan rakyat Malaysia dari ajaran Islam yang dipertahankan oleh para ulamak, maka ini merupakan pengkhianatan kepada usaha jihad dan perjuangan ulamak.

Akhir sekali, saya mewakili seluruh saff kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengucapkan Selamat Menyambut Kemerdekaan Malaysia kali ke 56. Semoga Allah SWT membimbing kita ke arah kemerdekaan yang diredhai.

Ikhlas dari saya

Yb Ustaz Mohd Zawawi Abu Hassan
ADUN Gunong Semanggol
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.


3 comments:

Advertise