IPOH: PAS sudah menjangkakan akan berlakunya kenaikan harga minyak di negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, perkara ini turut berlaku pada 2008 lalu iaitu beberapa bulan selepas pilihanraya yang menyaksikan BN terus mengekalkan kuasanya.
Menurutnya, tindakan ini sangat zalim kerana ianya membebankan rakyat disemua peringkat sama ada berpendapatan tinggi, rendah mahupun sederhana.
Jelas Raja, harga baru minyak ini akan disusuli dengan kenaikan secara melambung harga-harga barang khususnya keperluan harian seterusnya meningkatkan kos kehidupan warga Malaysia.
"Rakyat masih menanti-nantikan janji kerajaan dalam PRU13 lalu seperti BR1M, namun sehingga hari ini tidak direaliasikan.
"Apa yang rakyat dapat ialah kenaikan harga minyak dan akan disusuli dengan kenaikan keseluruhan harga barang," katanya dipetik dari laman Facebooknya.
Beliau berkata, rakyat tidak mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku selepas pilihanraya tahun 2008 lalu yang menyaksikan kenaikan harga minyak secara mengejut dan menyebabkan taraf kehidupan mula meninggat secara mendadak tanpa pengawalan.
Pemberian pelbagai gula-gula telah menyebabkan masyarakat terleka dan membuat keputusan yang salah pada PRU13 lalu dengan memberikan BN terus berkuasa untuk mencengkam masyarakat.
Beliau berpendapat, kenaikan harga minyak ini membuktikan kerajaan dalam keadaan terdesak untuk mencari sumber kewangan negara yang semakin menipis oleh kerana sikap boros serta ketidakcekapan kerajaan BN mengurus kewangan negara.
"Najib terpaksa dan sanggup mengambil jalan mudah serta cepat untuk mendapatkan sumber kewangan dengan menaikkan harga minyak.
"Mereka tidak prihatin dan tidak berasa bersalah dengan tindakan mereka ini yang sudah pasti membebankan rakyat," jelasnya lagi.
Ujar Raja Iskandar, BN tidak merasai akan denyutan nadi rakyat yang ketika ini mengeluh dengan suasana sosio ekonomi dan taraf hidup yang sangat membebankan sebaliknya terus menzalimi dengan menaikkan harga minyak.
"Saya yakin, semua pihak termasuklah penyokong BN merasai keperitan hidup kesan daripada tindakan menaikkan harga minyak ini.
"Tidak ada mana-mana pihak yang akan menyokong kecuali yang berkepentingan kerana ianya adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab," tegasnya lagi
0 comments:
Post a Comment