Wednesday, September 4, 2013

Peniaga Medan Gopeng bantah bayaran parkir!





IPOH: Tidak reda dengan pemindahan mengejut terminal bas ke Aman Jaya Meru, peniaga di Medan Gopeng, Ipoh sekali lagi dirundung malang apabila Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menguatkuasakan sistem kupon prabayar di kawasan itu.

Adun Sungai Rapat, Radzi Zainon berkata, penguatkuasaan ini telah menimbulkan kemarahan bukan sahaja dikalangan pemilik-pemilik kedai disekitar itu tetapi juga para pengunjung pekan kecil itu.

Menurutnya, hasil pemantauan dan kajian daripadanya, majoriti peniaga di situ melahirkan rasa tidak puas hati dan membantah penguatkuasaan itu kerana ternyata membebankan peniaga yang majoriti menggunakan parkir itu.

"Peniaga di kawasan Medan Gopeng sangat terkesan dengan pemindahan terminal bas yang menjadi salah satu penyumbang utama pengunjung disitu.

"Kira-kira 30 peratus pengunjung telah berkurangan menyebabkan sukarnya peniaga untuk memperoleh keuntungan dan dengan penguatkuasaan bayaran parkir ini telah menambahkan lagi beban terhadap peniaga," katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.


Setiap hari, ujarnya, pengguna parkir terpaksa membayar RM4,00 dan ianya adalah satu caj membebankan peniaga yang majoritinya bangsa melayu.

Timbalan Yang Dipertua PAS Gopeng itu menjelaskan, peniaga dan pengunjung di Medan Gopeng itu musykil dengan penguatkuasaan ini kerana kawasan di sekitarnya antaranya Gunung Rapat, Ipoh Jaya, dan Taman Cempaka bahkan kawasan seberang jalan tidak pula dikuatkasakan parkir berbayar ini sedangkan kawasan-kawasan tersebut jauh lebih ramai pengunjungnya.

Ini katanya menggambarkan ketidakadilan berlaku apabila penguatkuasaan ini tidak menyeluruh dan hanya membabitkan kawasan di Medan Gopeng.

"Saya menggesa agar penguatkuasaan ini ditangguhkan sementara dan merunding dengan para peniaga disitu agar ianya dapat diselesaikan secara harmoni.

"Pihak MBI harus mengkaji dan mencari jalan alternatif lain yang lebih efisyen dan berharap dapat bertemu serta berbincang dengan para peniaga dalam satu majlis dialog," jelasnya lagi.

Ujar Radzi, penguatkuasaan tersebut juga diluar pengetahuan orang ramai kerana tiada notis yang jelas menyebabkan ramai pengunjung yang disaman oleh pihak berkuasa.

"Saya selaku Adun di kawasan itu bertanggungjawab untuk memperjuangkan nasib para peniaga di kawasan itu.

"Saya sangat berharap pihak berkuasa dapat menyelami hati dan perasaan para peniaga yang mahukan keadilan, saya yakin ianya dapat diselesaikan secara baik," jelasnya lagi,

Dalam perkembangan berkaitan, beliau telah menyerahkan memorandum bantahan tersebut yang turut disertakan dengan tandatangan daripada 56 peniaga di Medan Gopeng kepada Setiausaha Bandaraya Ipoh, Datuk Rahim Md Arif di pejabatnya setelah selesai sidang media.

3 comments:

Advertise