Thursday, September 5, 2013

Amir derita kanser, perlukan bantuan

Amir derita kanser, perlukan bantuan

Oleh MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR

TAMBUN: Dewan Pemuda PAS Tambun menyeru orang ramai agar dapat bersama-sama menyalurkan bantuan bagi meringankan beban adik Mohd Amir Irfan Zulkifli yang menderita akibat kanser otak tahap empat.

Mohd Amir,8, kini lumpuh separuh muka selepas ketumbuhan otak dibuang dan hanya terlantar di katil sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Pemuda PAS Tambun, Zairul Azrun Zainal Abidin berkata, pihaknya berasa terpanggil dengan nasib yang dialami oleh Amir yang juga anak kepada Ketua Pemuda Cawangan PAS Taman Hiburan Tambun yang sebelum ini sangat dikenali dengan sifat ramah serta periang.

"Saya menyeleru mana-mana pihak yang sudi menyalurkan bantuan agar dapat mengurangkan beban adik Amir yang ketika ini hanya terlantar di katil.

"Keluarga sangat memerlukan sumbangan bagi menyara kos rawatan Amir dan perlu berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan radioterapi.

"Saya juga dimaklumkan kakak kepada Amir, Khadijah, 14, terpaksa berhenti sekolah oleh kerana kekangan kewangan keluarga yang semakin meruncing kerana terpaksa menanggung kos rawatan perubatan Amir," katanya ketika menziarahi adik Amir di kediamannya di Taman Tambun Emas, dekat sini 4 September lalu.

Hadir sama ialah pimpinan serta ahli Dewan PAS Kawasan Tambun dan Jabatan Amal Malaysia.

Dalam pada itu, Zulkifli Ismail, bapa kepada Amir berkata, anaknya dikesan menghidap kanser otak pada awal Ramadhan lalu selepas anak ke empatnya itu mengadu sakit kepala dan muntah-muntah.

Katanya, pada mulanya beliau telah beberapa kali menjalankan rawatan di klinik dan hospital namun doktor memberitahu ia cuma sakit kepala biasa namun setelah desakan dibuat agar pemeriksaan rapi dijalankan, barulah kanser tersebut dikesan. 

“Amir telah membuat pembedahaan beberapa kali dan pada mulanya membuang pengumpulan air di bahagian otak namun tidak ada tanda-tanda pulih. 

"Pembedahan kedua telah dibuat dan telah membuang ketumbuhan di bahagian otak dan menyebabkan separuh muka anak saya lumpuh," ujarnya.

Difahamkan ibu Amir, terpaksa berhenti berniaga kerana perlu sepenuh masa menjaga Amir yang sangat memerlukan pemantauan rapi.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Zulkifli di talian 017-5628586 atau menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank atas nama Zulkifli Ismail bernombor 158284094467.

4 comments:

Advertise