Wednesday, September 18, 2013

PAS tubuh satu jawatankuasa, tumpu aspek kebajikan keluarga

IPOH: PAS Perak merangkumi Pemuda, Muslimat, Ulamak dan Dewan Himpunan akan mengutamakan aspek kebajikan ahli keluarga mangsa orang kena zalim (okz) yang sedang ditahan di Penjara Tapah, kata Ustaz Zawawi Hassan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perak itu berkata, PAS akan bersama-sama pihak lain sedaya mampu untuk mengumpul dana kewangan bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Menurutnya, PAS juga berusaha untuk pastikan kehidupan seharian keluarga khususnya anak-anak mangsa tahanan itu terbela dari segala aspek termasuklah persekolahan, keperluan harian dan sebagainya.

"Di Peringkat PAS Perak, kami telah menubuhkan satu jawatankuasa khas berhubung kes ini dengan merangkumi beberapa aspek termasuklah untuk menjaga kebajikan kelaurga mangsa.

"Kita harapkan sepanjang dua tahun proses hukuman (penjara) dijalankan, keluarga mereka ini terbela dan tidak diabaikan," katanya ketika dihubungi Harakah 16 September lalu.

Beliau menjelaskan, mangsa tahanan mempunyai ramai anak yang masih belajar di sekolah mahupun universiti dan majoriti dari kalangan isteri mangsa tahanan adalah suri rumah.

Oleh sebab itu katanya, PAS tidak mahu sesi pembelajaran anak-anak mereka terganggu dan berharap ianya berjalan seperti biasa.

Zawawi berkata, PAS juga mencadangkan untuk menjadikan keluarga tahanan itu sebagai keluarga angkat dan anak-anak mereka sebagai anak angkat bagi memastikan kebajikan mereka terbela.

"Di peringkat Pemuda PAS Perak, kami akan melancarkan tabung bagi membiayai persekolahan anak-anak dan tanggungan keluarga dan sebagainya," jelasnya.

0 comments:

Advertise