Tuesday, September 24, 2013

PAS Perak persoal janji pembinaan hospital

IPOH: PAS Perak mempersoalkan dimanakah janji pembinaan Hospital Perak Tengah yang dikatakan tiada dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh berkata, Menteri Besar, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menjanjikan pembinaan projek tersebut pada PRU13 lalu.

Menurutnya, ketika Persidangan Dun Perak baru-baru ini, Exco Kerajaan Negeri, Nolee Ashilin Radzi menjelaskan bahawa untuk projek kesihatan di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kerajaan telah meluluskan hanya dua (2) pembinaan hospital baru iaitu di Parit Buntar dan Kampar sahaja.

"Dimanakah janji bagi pembinaan Hospital Perak Tengah seperti yang dijanjikan oleh Muhyiddin dan Zambry dulu? soal beliau.

Setiausaha Pemuda PAS Perak itu menjelaskan, cetusan awal cadangan agar satu hospital baru dibina di Perak Tengah adalah datangannya daripada PAS Kawasan Parit' dan ianya adalah wajar kerana rakyat dikawasan itu sangat mengharapkan ianya dapat direalisasikan.

Justeru katanya, PAS Perak menuntut perlaksanaan segera Hospital Perak Tengah yang jelas tidak termasuk di dalam projek kesihatan RMK-10 yang akan dibentangkan di dalam Parlimen Malaysia akan datang. 

"Kami juga mendesak agar Zambry menjelaskan di atas kegagalan pembinaan hospital tersebut jika benar ianya tidak dimasukkan di dalam RMK-10 yang akan datang," tegasnya lagi. 

Ujar Salman, bagi PAS, rakyat negeri ini amat berpegang kepada janji yang telah dibuat dan berharap agar ianya akan menjadi kenyataan.

0 comments:

Advertise