Thursday, August 22, 2013

TERKINI! : Peneroka Felcra wajib baca!

IPOH: Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) menggesa peserta menyemak semula status dan tarikh perjanjian dengan Felcra.

Pengerusinya, Razman Zakaria berkata, ini sangat penting bagi memastikan peserta tidak terus dibelenggu oleh Felcra dan hak sebenar mereka tidak disalahguna.

Menurutnya, terma perjanjian peserta dengan Felcra mengelirukan dan tidak dijelaskan secara nyata apakah bayaran yang perlu dibayar oleh peserta kepada Felcra serta berapakah amaun yang perlu dibayar sepanjang tempoh perjanjian.

Malahan katanya tempoh perjanjian juga tidak dinyatakan secara jelas kepada peserta Felcra.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, baru-baru ini, Mahkamah Majistret Lenggong telah memutuskan bahawa tuntutan kos pembangunan oleh Felcra terhadap dua orang peserta berikut ditolak dengan kos.

Asas penghujahan peserta katanya adalah berkenaan perjanjian yang ditandatangani di antara Felcra dan peserta tidak sah, tidak mempunyai kuat kuasa serta telah tamat tempoh.

Razman menjelaskan di dalam kedua-dua kes tersebut, tuntutan balas peserta untuk ganti rugi berasaskan bahawa Felcra telah melakukan pencerobohan terhadap tanah peserta berikutan tindakan Felcra yang terus mengusahakan tanah peserta setelah tamat tempoh perjanjian telah dibenarkan oleh mahkamah dengan kos.

"Memandangkan asas utama kes ini adalah berkenaan perjanjian, dan saya difahamkan perjanjian tersebut adalah merupakan perjanjian standard yang digunakan oleh Felcra di seluruh negara.

"Bapa mengesyorkan agar peserta-peserta Felcra di seluruh negara menyemak kembali perjanjian mereka dgn Felcra Bhd terutama tempoh perjanjian," katanya dalam satu sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, peguam, Zamri Ibrahim menggesa agar semua peserta berhati-hati jika Felcra meminta peserta menandatangani apa-apa dokumen untuk memperbetulkan perjanjian yang telah ditandatangani terutamanya perjanjian tambahan.

Ianya kata beliau sangat penting untuk mempertahankan hak mereka masing-masing daripada sebarang risiko.

"Saya peguam mewakili Bapa menasihati peserta agar dapat merujuk kami sebelum menandatangani sebarang dokumen serta perjanjian tambahan.

" Jika perjanjian telah tamat tempoh dan peserta ingin mengusahakan sendiri dan tidak mahu lagi bersama Felcra bolehlah berbincang dengan pihak kami berkenaan apa yang perlu dilakukan.

"Hubungi kami 01113300183 dan kami sudi membantu peserta bagi mengelak daripada terus dibelenggu Felcra," jelas Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Perak itu.


Advertise