Tuesday, August 20, 2013

Kejadian jenayah beri impak negatif


Oleh MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR

IPOH: Kejadian jenayah di negara ini terutama melibatkan penggunaan senjata api yang sedang berleluasa sangat membimbangkan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Zawawi Hassan berkata, siri-siri kejadian ini telah memberikan impak negatif terhadap kehidupan masyarakat awam. 

Menurutnya, undang-undang yang sewajarnya menjaga dan menjamin keamanan serta ketenteraman awam mula dipersoalkan.

Justeru itu, beliau yang juga Adun Gunong Semanggol berkata, Pemuda PAS menuntut penguatkuasaan undang-undang lebih efektif bagi menangani kes tembak dan jenayah berat yang semakin berleluasa. 

Selain itu, ujar Zawawi, penekanan terhadap langkah-langkah membanteras jenayah dengan menggunakan undang-undang sedia ada perlu diberi perhatian.

"Kami juga berharap situasi jenayah terkini tidak dijadikan alasan dan sebab yang kuat oleh pihak berwajib bagi mewujudkan undang undang yang tidak munasabah sekaligus melanggar hak asasi manusia. 

"Undang-undang dibentuk bagi menangani masalah dan menjaga ketenteraman rakyat, bukannya sebagai mekanisma yang memberi lebih banyak kuasa kepada pihak tertentu," katanya kepada Harakah 19 Ogos lalu.

Beliau menjelaskan, Pemuda PAS berpendirian, segala masalah ini berpunca kepada sistem pentadbiran dan perlaksanaan yang mula terhakis dari nilai kerangka Islam sebenar. 

Kata beliau, konsep Islam sebagai cara hidup mula diabaikan dan tidak diberi perhatian serius dalam membina masyarakat sejagat.

Pemuda PAS menyeru agar bersama mendoakan agar negara Malaysia dipelihara Allah SWT dari segala keburukan. 

"Kita juga memohon kepada Allah agar pihak yang memegang tampuk amanah negara kini,para pemimpin politik dari segenap aliran dan para cendekiawan negara diberi taufiq untuk mampu merancang, jujur berbincang dan bersungguh sungguh mencari jalan untuk menyelesaikan permasalahan ini," jelasnya lagi.

2 comments:

Advertise