Tuesday, August 20, 2013

Sambutan Aidilfitri PAS Bukit Gantang meriah




BUKIT GANTANG: Majlis Sambutan Aidilfitri PAS Kawasan Bukit Gantang berlangsung dengan penuh meriah apabilah dihadiri oleh pelbagai kaum dan lapisan.

Majlis yang diadakan di Dewan MPT, Changkat Jering, Taiping pada 15 Ogos lalu itu mencatat kehadiran diluar jangkaan apabila lebih 3000 orang hadir.

Majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad, Adun Changkat Jering, Dato' Seri Nizar Jamaluddin, serta Adun Kuala Sepetang Chua Yee Ling yang bersama-sama meraikan masyarakat dikawasan mereka itu.

Ustaz Idris ketika ditemui Harakah berkata, kehadiran masyarakat ke majlis itu sangat memberangsangkan dan ianya membuktikan PAS diterima oleh masyarakat.
Kata beliau, rakyat tidak kira lapisan, golongan dan bangsa tidak lagi takut untuk menzahirkan sokongan dan bersama-sama dalam program yang dianjurkan PAS.

"Dikesempatan ini, majlis ini dapat mendekatkan lagi rakyat dengan pimpinan serta wakil rakyat yang telah dipilih oleh mereka pada PRU13 lalu," katanya.

Dalam majlis itu, Ustaz Idris bersama Mohammad Nizar telah menyampaikan duit raya kepada lebih 500 kanak-kanak yang hadir.

Hadir sama ialah Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Zawawi Hassan, dan pimpinan PAS kawasan yang diketuai Yang Dipertuanya, Ustaz Nordin Jaafar.

Ke semua pimpinan yang hadir mengambil kesempatan untuk berucap untuk memberi penerangan dan ucapan Aidilfitri.
Bercakap kepada Harakah, Ustaz Nordin berkata, majlis ini bertujuan untuk meraikan hari yang penuh makna bagi umat Islam bersama-sama masyarakat di kawasan itu dan mengambil kesempatan untuk mengeratkan silaturrahim antara rakyat dan pimpinan PAS.

Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang hadir memeriahkan program tersebut dan mendoakan agar dapat meneruskan majlis ini di tahun yang akan datang.

Advertise