Thursday, August 15, 2013

Pemuda PAS Perak kutuk kekejaman tentera Mesir



IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengutuk sekeras kerasnya tindakan pihak keselamatan Mesir dalam menangani permasalahan rampasan kuasa di Mesir sehingga menyebabkan orang awam menjadi mangsa korban.

Ketuanya, Ustaz Zawawi Hassan berkata, pihak keselamatan Mesir sewajarnya mengutamakan nyawa dan keamanan orang awam daripada menjadi mangsa korban yang semakin meningkat.

Menurutnya, perhimpunan rakyat berlaku secara aman dan sekadar menuntut hak yang dirampas dan tidak wajar berakhir dengan pertumpahan darah serta kehilangan nyawa.

"Umat Islam seluruh dunia perlu bangkit menyatakan bantahan keras terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas rakyat Mesir yang tidak berdosa.

"Kami sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di Mesir sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan," katanya dalam satu kenyataan kepada Perakite Daily.

Adun Gunong Semanggol itu menjelaskan, Pemuda PAS mengharapkan kerjasama daripada semua mahasiswa di Mesir agar mematuhi arahan dan pekeliling keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib seperti Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK), Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan Keluarga Pelajar pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM).

Media juga katanya berperanan melaporkan setiap peristiwa dan kejadian yang berlaku tanpa meletakkan kesalahan kepada rakyat, sebaliknya perlu melihat dan menilai tindakan kejam yang diambil oleh pihak keselamatan terhadap orang awam.

"Pihak kami menyokong sepenuhnya kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan yang menegaskan hanya melalui perbincangan dan rundingan serta mengembalikan kuasa pemerintahan kepada kerajaan yang sah akan memulihkan keadaan.

"Secara pasti, gerak kerja menyebarkan dakwah islam akan sentiasa diuji dan menuntut pengorbanan yang tinggi," jelasnya lagi.

2 comments:

Advertise