Monday, August 26, 2013

Jangan pentingkan kroni!

IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak menggesa kerajaan negeri agar menguruskan ekonomi dan kewangan negeri secara berhemah.

Menjelang Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak Isnin ini, bendaharinya, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar mengharapkan kerajaan negeri mengutamakan perancangan yang lebih praktikal merangkumi ketelusan, integriti dan kecekapan khususnya berkaitan pengurusan wang kerajaan.

Menurutnya, Pemuda PAS tidak mahu sebarang kelulusan projek mega dan dasar yang merugikan wang rakyat.

Kata beliau, sepanjang pemerintahan kerajaan negeri dibawah pimpinan Dato' Seri Zambry Kadir sesi lalu, Pemuda PAS melihat terdapat perkara-perkara yang dilakukan oleh kerajaan negeri bersifat pembaziran dan hanya menguntungkan segelintir pihak.

Pendekatan sedemikian katanya tidak seharusnya diulangi oleh Zambry dan berharap pemerintahan pimpinan beliau kali ini lebih telus dan wibawa.

"Saya berharap kerajaan dapat mengemukakan satu perancangan ekonomi yang praktikal.

"Kami tidak mahu apa-apa kelulusan yang merugikan wang kerajaan dan tidak memberi manfaat kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menjelaskan, setiap perkara yang ingin diluluskan seharusnya mengambil kira aspek kewajaran serta keperluan yang akan mewujudkan perolehan manfaat kepada rakyat.

"Pemuda PAS Perak tidak mahu sebarang kelulusan dan dasar yang memberi keuntungan kepada sekelompok pihak yang berkepentingan.

"PAS sangat mengalu-alukan usaha yang akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat seperti pembangunan negeri dan ekonomi rakyat," jelasnya lagi.

Fakhrulrazi menyatakan, kerajaan negeri Perak memperoleh sumber kewangan yang mencukupi memandangkan negeri tersebut mempunyai hasil mahsul yang pelbagai termasuklah getah, balak, sawit dan sebagainya.

Pemuda PAS katanya yakin pendapatan kerajaan mencukupi untuk disalurkan kepada seluruh rakyat pelbagai lapisan melalui perancangan yang efisyen daripada kerajaan.

"Kami yakin ekonomi rakyat akan meningkat dan masalah kemiskinan tidak wujud lagi sekiranya pendapatan kerajaan diuruskan secara adil dan saksama," jelasnya lagi.


3 comments:

Advertise