Thursday, August 29, 2013

Isu petisyen pilihanraya hangatkan dewan

IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada hari kedua hangat apabila Ketua Pembangkang, Dato' Seri Nizar Jamaluddin membawa isu petisyen pilihanraya.

Berucap ketika membahaskan Titah ucapan DYMM Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah 27 Ogos lalu, beliau menyifatkan demokrasi di negara khususnya di Perak telah dinyahkan dari muka bumi ini.

Adun Changkat Jering itu berkata, hak rakyat untuk mengemukakan hujjah dan bukti tentang penyelewengan pilihanraya telah dinafikan.

Katanya, Pakatan Rakyat telah menyahut seruan Pengerusi SPR untuk memfailkan petisyen di mahkamah jika tidak berpuas hati dengan proses pilihanraya namun ianya ditolak sebelum bicara.

Jelasnya, tindakan tersebut sangatlah tidak bertanggungjawab dan seolah-olah menyekat untuk rakyat mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam PRU13 lalu.

"Memfailkan petisyen ke mahkamah adalah satu-satunya kaedah yang dibenarkan kepada kami untuk mengemukakan bantahan namun ianya tetapi dinafikan apabila ianya ditolak tanpa didengar dan dibicara.

"Kami yang mempunyai bukti yang sangat kukuh, misalnya apa yang berlaku Dun Pasir Panjang iaitu sogokan pilihanraya secara langsung oleh agen-agen BN tetapi ianya tidak dapat dibuktikan apabila petisyen ditolak diperingkat awal," dedahnya hingga menimbulkan rasa tidak senang wakil rakyat BN.

Nizar menyatakan, selepas petisyen ditolak, Pakatan Rakyat telah dizalimi apabila terpaksa menanggung kos yang tinggi iaitu sebanyak RM965,000,000 secara keseluruhannya.

Ini katanya adalah tindakan zalim dan penganiayaan besar setelah petisyen ditolak seawal bantahan awal.

"Hak kami dinafikan mahkamah, saya sebagai ketua pembangkang berasa tanggungjawab untuk suarakan perkara ini di Dun agar rakyat mengetahui apa yang berlaku," jelasnya.

Mohammad Nizar menjelaskan, Pakatan Rakyat menyifatkan kemenangan yang dicapai oleh Adun BN khususnya kawasan yang dikemukakan petisyen adalah satu kemenangan yang tidak berhormat kerana ianya diperoleh dalam suasana pilihanraya yang tidak berlaku adil.

3 comments:

Advertise