Thursday, August 29, 2013

Isu agama: Radzi setuju saranan Raja Nazrin

IPOH: Adun Sungai Rapat, Radzi Zainon bersetuju dengan saranan DYMM Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah agar bersikap teliti dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terhadap perkara-perkara yang menyentuh isu agama.

Katanya, perkara tersebut adalah sangat wajar kerana ianya adalah perkara yang sangat sensitif dan boleh menggugat keharmonian negara.

Menurutnya, Islam turut memberikan ruang yang aktif dalam menghormati dan menghargai prinsip hidup dan keyakinan bangsa-bangsa lain.

"Kita perlu sentiasa bersedia untuk mencari titik persamaan antara bermacam-macam perbezaan, bahkan Islam bersedia bersatu dalam perbezaan tersebut," katanya ketika diminta mengulas Titah ucapan DYMM Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah ketika merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Perak Ke-13.

Radzi menjelaskan, wawasan yang dibawa oleh Islam yang didokongi oleh PAS dalam perjuangannya iaitu berusaha mengikis ketegangan dan ketidak selesaan kaum melalui agenda bersama, mencari ‘titik homofili’ dalam isu-isu sejagat, keadilan dan kemakmuran sekalian rakyat Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut bersetuju dengan saranan Raja Nazrin agar semua isu agama perlu dibincangkan dalam suasana musyawwarah berlandaskan sifat keilmuan kerana ianya membolehkan tercapainya titik persefahaman dan titik pertemuan.

Kata beliau, betapa pentingnya rakyat dan pemimpin umat Islam mempelajari asas syariah dan ilmu Islam sebelum berbahas berkenaan isu kontroversi berkenaan agama Islam.

“Kenyataan akhbar dan media yang provokatif, mencela mana-mana agama dan kaum, menuduh mana-mana kaum sebagai ekstrimis, membuat demostrasi provokasi menghina agama-agama selain Islam juga perlu dikikis daripada amalan rakyat mahupun pemimpin di negara kita.

"Dalam menjunjung semangat keharmonian ini, semua pihak perlu faham, akur, laksanakan tekad dan jangan hanya beretorik sehingga natijahnya terus mencalar wawasan murni seperti mana yang digagas oleh Raja Nazrin”, jelasnya lagi.

Radzi juga menyatakan rasa kesal dan sedih melihat agama Islam dihina dan dipermainkan oleh ramai pihak baik oleh kaum islam mahupun bukan Islam.

Lebih malang katanya apabila orang Islam sendiri menghina sistem Islam atau perundangan Islam berbanding dengan kaum bukan Islam yang mungkin masih belum kenal erti Islam.

Advertise