Monday, July 8, 2013

Ustaz Fadzil Noor Mujaddid politik



IPOH: Mantan Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Noor mempunyai pemikiran yang sangat menakjubkan, kata Bendahari Dewan Pemuda PAS Perak, Fakhrulrazi Mokhtar.

Beliau berkata, Almarhum telah menjadikan PAS sebagai satu wadah perjuangan yang sangat mantap dan menjadi pilihan rakyat.

Kata beliau, idea Ustaz Fadzil iaitu konsep memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional tertanya memberi kekuatan kepada PAS setelah beliau melihat betapa pentingnya peranan kedua-dua golongan itu yang masing-masing bermanfaat kepada umat Islam dan ummah.

Fakhrulrazi berkata, Almarhum sedaya upaya untuk memastikan kedua-dua golongan ini bergerak seiring di dalam jemaah untuk mewujudkan satu kekuatan yang tiada di dalam jemaah serta parti lain.

Jelas beliau, Ustaz Fadzil telah berjaya memimpin PAS yang berkonsepkan kepimpinan ulama di samping menyedari keperluan besar golongan profesional bagi menjayakan misi parti.

“Pemikiran Almarhum untuk memperkuatkan kerjasama pelbagai profesion dan bidang di dalam PAS telah berjaya menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan yang kuat dan hasilnya PAS semakin diterima masyarakat pelbagai lapisan sehingga hari ini.

Almarhum melihat, kerjasama ini adalah sangat penting untuk menarik masyarakat agar menerima misi serta perjuangan PAS iaitu Islam sebagai dasar,” katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia itu menjelaskan, Ustaz Fadzil meninggalkan PAS dengan penuh kematangan dan memecahkan pemikiran masyarakat yang sebelelum ini melihat PAS adalah ‘parti pak lebai’ mahupun ‘parti pondok’.

Ujarnya, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga timbalan kepada Ustaz Fadzil ketika itu telah mengambil alih amanah yang ditinggalkan dengan penuh bersedia sehingga menjadikan PAS ketika ini antara parti Islam yang masyhur di kalangan masyarakat di seluruh dunia.

Beliau menganggap, Ustaz Fadzil adalah seorang mujaddid politik yang mempunyai pemikiran menakjubkan sehingga berjaya merubah landsap politik di negara ini termasuklah PAS itu sendiri.

4 comments:

Advertise