Thursday, July 11, 2013

Pemuda PAS gesa ambik tindakan 'kaki ponteng'

IPOH: Kerajaan Negeri Perak didesak menjalankan tindakan drastik dengan memantau semua restoran dan kedai makan Muslim pada bulan Ramadhan ini supaya mereka-mereka yang ‘kaki ponteng’ berpuasa untuk diambil tindakan tegas.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, Pemuda PAS merasakan Pihak Kerajaan Tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) sewajarnya bertindak dengan peruntukan yang ada di dalam undang-undang bagi menyekat ‘kaki ponteng’ dengan mengenakan tindakan tegas.

Ini katanya sangat penting agar ianya tidak menjadi ‘wabak’ umat Islam yang akan merosakkan imej Islam di mata masyarakat bukan Islam khasnya.

"Kami mengharapkan komitmen jitu daripada kepimpinan Dato' Dr Zambry Abd Kadir dengan kenyataan dan tindakan agar agensi di bawah kerajaan negeri bertindak tegas terhadap ‘kaki ponteng’pada Ramadhan tahun ini," katanya kepada Harakah 8 Julai lalu. 

Jelas beliau, antara usaha lain yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri adalah menggariskan ketetapan waktu membuka restoran dan kedai makan selepas jam 4.00 petang.

Kata Raja Iskandar, pihaknya yakin bidang kuasa yang ada mampu menyekat mahupun mengurangkan ‘kaki ponteng’ daripada mendapatkan bekalan makanan dengan mudah.

"Kami tegas menyokong usaha kerajaan negeri jika berusaha memastikan langkah-langkah pencegahan pada bulan Ramadhan yang dikenakan kepada ‘kaki ponteng’. 

"Kami yakin Dr Zambry mampu melakukan lebih daripada cadangan kami tersebut dan memastikan bulan Ramadhan tahun ini kearah sifar ‘kaki ponteng’," jelasnya lagi. 

Justeru, Pemuda PAS mengharapkan semua pihak akan membantu Agensi yang terlibat bagi memastikan usaha kerajaan negeri pada bulan Ramadhan ini dapat diambil tindakan sewajarnya.

0 comments:

Advertise