Monday, July 29, 2013

Rapatkan perpaduan di dalam jemaah : Husam


LENGGONG: Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa menyeru kepada seluruh pendokong perjuangan PAS agar mengambil pengajaran peperangan Badar Kubra.

Menurutnya, peperangan tersebut mempunyai 1001 satu pengajaran yang sangat berguna dan perlu dicontohi oleh PAS dalam perjuangannya.

Kata beliau, antara perkara yang wajar menjadi contoh ialah kesatuan dan perpaduan antara para tentera perang badar yang telah menghasilkan kejayaan kepada Islam.

Walaupun katanya pada ketika itu bilangan ahli tentera musuh jauh lebih banyak daripada tentera Islam namun disiplin yang ditunjukkan oleh tentera Islam telah menzahirkan kejayaan.

"Perang Badar mempunyai ciri-ciri siasah dan dakwah yang cukup hebat dan susunanya sangat baik, ianya perlu difahami dan dicontohi oleh para pendokong perjuangan PAS," katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Badar Kubra Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Dataran Surai Ibnu Zakaria, Kampung Luat, dekat sini 26 Julai lalu.

Turut berucap ialah AJK PAS Pusat, Dato' Seri Nizar Jamaluddin, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien, Yang Dipertua PAS Lenggong, Razman Zakaria dan wakil Syiria, Mohammad Nizar yang dijemput khas untuk membicarakan tentang situasi terkini pergolakan di negara itu.

Tambah beliau, pendokong perjuangan PAS haruslah menjaga perpaduan sesama ahli jemaah dan ianya adalah isyarat penting untuk merealisasikan kejayaan.

Husam menjelaskan, PAS tidak akan berjaya menguasai medan perjuangan jika perpaduan sesama sendiri tidak dapat dijaga serta diharmonikan.

BN khususnya Umno katanya sentiasa berusaha memecahkan PAS dengan parti komponen dan termasuklah sesama sendiri bagi memastikan kuasa yang mereka pegang itu tidak terlepas.

"Awasi mana-mana pihak yang cuba sebarkan bibit-bibit perpecahan dan ajak mereka berbincang serta menyelesaikan secara  berhemah mengikut tata-tertib kaedah tarbawi dalam jemaah untuk mendisiplinkan ahli.

"Berikan perluang kepada orang yang dituduh itu untuk memberikan penjelasan disamping membuktikan tuduhan itu, ini adalah cara sebenar," jelasnya.

Sementara itu, Dato' Seri Nizar Jamaluddin dalam ucapan ringkasnya berkata, Umno telah mendidik masyarakat bahawa bulan puasa ini adalah hanya sekadar budaya sahaja.

Jelasnya, kehebatan Ramadhan tidak dapat dilihat secara menyeluruh oleh masyarakat dengan erti sebenar bulan yang mulia ini.

Ramadhan katanya seharusnya menjadi bulan tarbiyah dan menjadi titik permulaan masyarakat untuk membuat perubahan.

"Umno tidak mahu masyarakat jadikan bulan puasa ini sebagai bulan ibadat kerana ianya sudah pasti akan memberikan kesedaran kepada mereka untuk melakukan perubahan untuk menjadi serta memilih yang lebih baik," ujar Mantan Menteri Besar Perak itu.

Dalam majlis itu, PAS berjaya mengumpul sebanyak RM6289.00 untuk umat Islam Syiria bagi membantu saudara seagama yang sedang dizalimi oleh regim Basyar Assad.

Sumbangan daripada hadirin yang hadir itu diserah oleh Ustaz Abu Bakar kepada wakilnya, Mohammad Nizar.

3 comments:

Advertise