Friday, July 19, 2013

PAS Teluk Intan anjur Ihya Ramadhan


TELUK INTAN, 16 Julai - Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, Program Ihya Ramadhan peringkat PAS Kawasan Teluk Intan diadakan bagi tahun ini. Program mingguan di sepanjang bulan Ramadhan al mubarak ini diadakan setiap hari Selasa di Markaz PAS Kawasan Teluk Intan.

Menurut Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik, pengisian bagi program tersebut merangkumi majlis tahlil, iftar jamaie, solat Maghrib, solat Isya' dan solat sunat tarawih. Program diakhiri dengan penyampaian tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh para pimpinan parti yang telah siap disusun oleh Lujnah Tarbiyyah kawasan. Ia termasuklah penggiliran cawangan-cawangan dan dewan-dewan dalam urusan pengendalian setiap program.

YDP PAS Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik.

Bagi minggu pertama Ramadhan, kehadiran ahli-ahli cawangan serta penyokong ke markaz amat menggalakkan untuk bersama-sama berbuka puasa dengan pimpinan PAS kawasan. Jelas, program sebegini dapat mengeratkan lagi ukhuwwah sesama ahli dan juga pimpinan.

Seusai solat tarawih dan witir, para ahli akan sama-sama mendengar tazkirah. Bagi minggu pertama Ramadhan ini, Ahli Majlis Syura Ulama PAS Ustaz Zaharuddin Muhammad telah dijemput menyampaikan tazkirah. Sebelum itu, beliau juga telah memimpin solat Isya' dan tarawih.

Ustaz Zaharuddin Muhammad menyampaikan tazkirah.

Antara pengisian tazkirah beliau ialah tentang bulan Ramadhan sebagai bulan tarbiyyah khususnya amat penting sekali kepada para pejuang Islam. Antara tarbiyyah Ramadhan ialah bersahur yang mana sahur sebagai satu tarbiyyah kepada umat Islam untuk melazimi bangun malam seperti tahajjud.

"Dengan bertahajjud, jiwa akan menjadi mantap dan ini amat penting sekali khususnya kepada para ahli yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai ujian, " jelas beliau.

Selain daripada Ustaz Zaharuddin, antara pimpinan yang dijemput menyampaikan tazkirah ialah Pesuruhjaya PAS negeri, YB Ustaz Abu Bakar Hussin dan pimpinan Pemuda PAS negeri Ustaz Hafez Sabri.

intanhijau.blogspot.com

3 comments:

Advertise