Monday, July 29, 2013

Ustaz Idris penuhi Ramadhan bersama rakyat




BUKIT GANTANG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad menghabiskan masanya di bulan Ramadhan tahun ini bersama rakyat di kawasannya.

Pelbagai aktiviti bersama rakyat dijalankan terutama menyantuni keluarga khususnya yang miskin dan memerlukan.

Dalam masa yang sama, beliau akan menyampaikan bantuan berupa keperluan harian bagi meringankan beban rakyat.

Di sebelah petangnya, beliau akan bersama masyarakat di tempat-tempat tumpuan terutama di bazar Ramadhan dan selepas itu beliau akan ke masjid atau surau untuk berbuka puasa bersama rakyat.

Setelah selesai berbuka puasa, beliau akan bergerak ke destinasi lain untuk terawih dan menyampaikan tazkirah Ramadhan.

Ustaz Idris berkata, mendekati masyarakat menjadi keutamaan beliau khususnya di bulan yang mulia ini.

Menurutnya, rakyat mahukan wakil rakyat yang dipilih dekat dengan masyarakat dan mendengar rintihan serta permasalahan yang ada.

Jelas beliau, rakyat sangat terharu dan gembira apabila pimpinan mengambil berat tentang mereka.

"Sempena bulan yang mulia ini, saya bersama PAS Kawasan Bukit Gantang mempergiatkan lagi untuk membantu dan menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

"Walaupun bantuan tidaklah begitu lumayan tetapi itu sudah cukup memberikan kegembiraan kepada rakyat kerana mereka sangat mahukan perhatian," katanya kepada Harakah 29 Julai lalu.

Ajk PAS Pusat itu berkata, walaupun sibuk dengan urusan parti dan jemputan ceramah di seluruh negara, beliau tetap memberi keutamaan kepada masyarakat di kawasannya.

"Saya diamanahkan mereka untuk menjaga mereka, saya perlu jalankan tanggungjawab itu sebaik mungkin kerana ini adalah amanah besar oleh Allah," ujarnya lagi.

Advertise