Friday, July 12, 2013

PAS Ipoh Timur imarahkan bulan Ramadhan



IPOH: PAS Kawasan Ipoh Timur meneruskan tradisi setiap tahun dengan mengadakan program Qaryah Ramadhan.

Pengarah Program, Ahmad Shahril Jalaludin (gambar) berkata, program tersebut bertujuan untuk mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan mengadakan program-program pengisian ilmu dan keagamaan.

Ketua Pemuda PAS Ipoh Timur itu berkata, program seperti ini penting untuk mendekatkan masyarakat dengan program bermanfaat disamping menguatkan lagi rohani para pendokong perjuangan PAS.

Menurutnya, majlis ilmu ini juga dapat mengelakkan masyarakat mensia-siakan peluang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah kepada umatnya di bulan Ramadhan ini dengan membuat aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

"Alhamdulillah setiap tahun program yang dianjurkan oleh PAS Ipoh Timur mendapat sambutan yang memberangsangkan.

"Ini bermakna masyarakat di sini sangat cintakan serta dahagakan program-program berfaedah seperti majlis ilmu dan ini tanggungjawab PAS kepada masyarakat khususnya di bulan yang mulia ini," katanya kepada Harakah 12 Julai lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, qaryah Ramadhan kali ini mendatangkan kelainan dengan menjemput pimpinan-pimpinan PAS sama ada di peringkat negeri dan pusat serta tokoh-tokoh agama.

Antaranya ialah, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien dan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Zawawi Hassan.

"Saya berharap Qaryah Ramadhan kali ini mendapat sambutan yang baik seperti tahun-tahun dahulu dan saya turut menyeru kepada masyarakat agar menggunakan sebaik mungkin peluang yang diberikan oleh Allah pada bulan yang mulia ini untuk mempertingkatkan amalan dengan menghadiri majlis ilmu," jelasnya lagi.

2 comments:

Advertise