Thursday, June 6, 2013

Wifi percuma bukan janji baru: Pemuda PAS Perak

IPOH – Pemuda Pas Perak melihat cadangan Adun Manong, Mohamad Kamil Shafie mahu menempatkan wifi percuma di Manong walaupun ia tidak dikemukakan dalam ‘akujanji’ atau ‘manifesto’ BN telah lama disambut baik PR.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Negeri, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-hiss berkata, cadangan berkenaan juga turut memberi tamparan hebat kepada kerajaa negeri kerana isu wifi percuma ini ada kaitannya dengan sejarah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Apa yang menarik perhatian kita kini ialah usaha menempatkan wifi percuma ini di Manong tidak dilakukan atau diperoleh daripada kerajaan negeri tetapi melalui Pertubuhan Peladang.

“Malah jika kita imbau kembali sejarah wifi percuma ni, ketika Zambry sebagai Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dengan teknologi maklumat semasa kepimpinan Tan Sri Mohammad Tajol Rosli Mohamed Ghazali dahulu, usaha menempatkan wifi percuma di setiap daerah sehingga kini masih gagal dilaksanakan.

“Jadi usaha Mohamad Kamil secara sinisnya menempelak Zambry yang gagal melaksanakan tanggungjawab ketika menjawat jawatab Exco suatu ketika dahulu,” katanya.
'
Kata Raja Ahmad, usaha menempatkan wifi percuma itu sebenarnya boleh dilaksanakan oleh kerajaan negeri mengikut kemampuan melainkan jika kerajaan negeri sememangnya tidak mampu menyediakan wifi percuma kepada rakyat.

“Sepatutnya isu wifi percuma ini sudah lama ditangani kerajaan negeri kerana mereka dahulu telah menjanjikan wifi percuma di setiap daerah di seluruh negeri.

“Kami tegaskan usaha Adun Manong wajar menjadi contoh dan kerajaan negeri sepatutnya memberikan tumpuan khusus dalam memastikan semua tempat memperoleh wifi percuma terutamanya di luar bandar,” katanya.

Pada Mac 2007, kerajaan negeri yang dipimpin Mohammad Tajol Rosli merancang mewujudkan kemudahan internet jalur lebar tanpa wayar di semua bandar dan pekan di negeri itu mulai Julai.

Perkhidmatan itu disediakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Jaring Communications Sdn Bhd (Jaring) dan Red Snapper (M) Sdn Bhd dalam usaha menjayakan konsep negeri berasaskan pengetahuan (k-State) menjelang 2010.


0 comments:

Advertise