Dewan Pemuda PAS Perak menyarankan pihak polis bertindak segera meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bilik lokap sebagai salah satu daripada cara untuk menangani insiden kematian tahanan.
Ini berikutan kebimbangan rakyat tentang beberapa kejadian individu yang mati dalam tahanan polis termasuklah yang terbaru di Lokap Balai Polis Tampin beberapa hari lalu.
Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, pihak polis sewajarnya mengambil contoh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang meletakkan CCTV di dalam bilik siasatan mereka setelah beberapa kejadian kematian termasuklah Teoh Beng Hock bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.
“Kami melahirkan kebimbangan dengan beberapa insiden kematian di dalam lokap Polis baru-baru ini yang boleh disifatkan sebagai salah satu jenayah yang berselindung di bawah undang-undang di dalam Negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Raja Iskandar berkata, Pemuda PAS mempersoalkan adakah pegawai siasatan telah menggunakan kekerasan fizikal yang melampau hingga menyebabkan kecederaan serius sehingga berlaku kematian.
“Apakah punca tersebut yang menjadi faktor walaupun Prosedur Operasi Standard (SOP) diikuti sepenuhnya? Soalnya.
Tegasnya, Pegawai Tertinggi Polis perlu mengakui bahawa terdapat beberapa anggota Polis bertindak melanggari SOP yang telah ditetapkan.
Pihak tertinggi katanya perlulah menjalankan siasatan serta memantau pegawai polis bagi mencari punca sebenar kejadian tahanan yang mati ketika melakukan siasatan.
“Jangan mempolitikkan kelemahan yang berlaku apabila datangnya kenyataan mengenai perkara tersebut daripada orang politik,” tegasnya lagi.
0 comments:
Post a Comment