PARIT BUNTAR, 7 Jun : Adun Titi Serong Ust. Abu Bakar Hussain meminta pihak berwajib agar dapat membuat siasatan terperinci tentang kebakaran kilang memproses pakaian di Parit Haji Awi, Bagan Tiang yang melibatkan kematian.
Dalam kejadian petang Selasa lepas, lima pekerja asing dipercayai rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah kilang memproses pakaian terpakai di Kampung Parit Haji Awi, Bagan Tiang .
Beliau meminta pihak berkenaan meneliti soal keselamatan serta piawaian kilang tersebut sama ada ciri keselamatan yang ditetapkan mengikut undang-undang dan berharap kejadian seumpama itu dapat dielakkan pada masa akan datang.
Beliau bersama pimpinan PAS Parit Buntar melawat lokasi kejadian sebaik dimaklumkan tentang kebakaran berkenaan. Turut melawat Adun Titi Serong Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.
Sementara itu, Penguasa Bomba Kanan 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Utara, Zainuddin Abdul Rahim berkata, sehingga jam 7 malam, dua pekerja lelaki warga Myanmar ditemui rentung di mana seorang daripada mereka dipercayai tidur di belakang kilang.
Menurutnya seorang lagi mangsa ditemui di hadapan premis berkenaan setelah ditimpa bumbung yang runtuh ketika cuba keluar dari pintu hadapan kilang.
Jelasnya, sebanyak dua jentera dengan kekuatan 20 anggota bomba dari Balai Bomba Parit Buntar dan Balai Bomba Kuala Kurau dikerah mengawal kebakaran.
Setiausaha Pasuka Bomba Sukarela Bagan Tiang berkata, kebakaran berlaku kira-kira jam 3 petang dan pihaknya mendapat panggilan telefon daripada pihak awam lebih kurang jam 3.15 petang.
Menurutnya, seramai lebih 100 anggota bomba sukarela meliputi lebih 10 jentera dating memberikan bantuan kepada anggota bomba memadamkan api.
“Bagaimanapun, keadaan api yang marak ditambah tekanan air yang rendah menyukarkan usaha kami untuk mengawal kebakaran.
“ Pihak bomba dengan bantuan kami berjaya memadamkan api kebakaran sepenuhnya lebih kurang jam 5.30 petang setelah lebih dua jam mengerah keringat” katanya. SH
0 comments:
Post a Comment