Monday, June 10, 2013

Israk Mikraj: Ujian, teladan kepada pejuang Islam

Israk Mikraj adalah peristiwa yang menjadi ujian keimanan pada masa itu. Orang Islam diuji dengan peristiwa yang menguji keimanan mereka. Mereka yang cekal keimanan seperti Abu Bakar al-Siddiq menerima sahaja pengkhabaran ini tanpa berbelah bagi. Pada beliau apa yang disampaikan oleh baginda akan diterima tanpa banyak soal. Kerana beliau yakin individu yang bernama Muhammad SAW seorang yang jujur dan amanah.
Kita boleh bertanya diri masing-masing, apakah situasi kita jika sempat berada di zaman Nabi SAW? Bersama Abu Jahal kah atau bersama Abu Bakar al-Sidiq.

Peristiwa Israk Mikraj banyak memberi pengajaran kepada kita sebagai anggota di dalam Harakah Islamiah PAS. Kita mesti yakin dengan dasar yang PAS bawa. Sama ada waktu menang atau kalah Kita mesti terus istiqamah dengan Islam. Inilah landasan yang telah kita bina sejak tahun 1951. Pasang surut di dalam perjuangan adalah lumrah. Ia sebagai satu proses untuk menguji ahli dan pemimpin samaada sabar atau tidak. Jangan kita gopoh untuk mendapat kemenangan sehingga kita lupa asas perjuangan. Kadang-kadang kita sudah hilang adab dalam berjamaah. Bermusuh sesama sendiri, kutuk sesama sendiri. Sehingga sudah tidak tahu membezakan antara prinsip dan strategi. Hendak menjaga hati orang luar, lebih daripada hendak menjaga hati sesama sahabat. Manakah sikap kita sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:"Merendah diri dengan orang Mukmin dan menujukkan izzah dengan orang bukan Islam".

Yang paling sedih sehingga ada yang  mencadangkan PAS ini perlu menjadi parti politik, bukan sebagai sebuah gerakan Islam. Dengan andaian PAS tidak akan maju selagi masih menjadi Harakah Islamiah. Pas tidak maju jika masih hendak mengambil kira hukum dalam semua hal. Fahaman ini cukup merbahaya jika kita mengambil sikap demikian. Pas mampu bertahan kerana kita tidak memisahkan dengan gerakan dakwah. Di sinilah ada keberkatan dan semangat untuk orang lain bersama dengan PAS. Umno yang menjadi saingan PAS pada hari ini sudah berada dihujung senja. Ideologi mereka sudah tidak relevan. Ia mampu bertahan kerana ada kuasa sahaja. Jika mereka hilang kuasa, maka Umno akan diletakkan di Muzium sahaja.

Ia berlainan dengan Pas, kerana tegak di atas manhaj yang jelas dan dasar yang jelas.

Isra' Mikraj merupakan medan ujian keimanan. Begitulah juga kita, berjuang bersama dengan PAS kerana keyakinan dengan dasar. Seandainya tujuan duniawi maka kita tidak kesampaian bersama dengan PAS. Barang pasti apabila kita bersama dengan PAS kita sudah berjaya melawan musuh dalam dan luar. Segala tawaran dan habuan dunia ditolak jika bertembung dengan kepentingan agama. Inilah nilai keimanan yang sudah dipahat di dalam dada setiap anggota PAS.

Puak kafir Quraisy menolak pengkhabaran yang disampaikan oleh baginda. Mereka mengukur dari ukuran dunia, bukannya wahyu. Mereka menggunakan akal,  tidak boleh menerima Nabi SAW ke Masjidil Aqsa dan ke Sidratul Muntaha dalam masa yang singkat. Kebiasaan mereka ke Palestin daripada Makkah memakan masa selama 40 hari 40 malam. Semuanya gara-gara kerana menggunakan akal.

Perjuangan Islam juga jika menggunakan akal, sama seperti puak-puak kafir Quraisy yang menolak peristiwa Isra' Mikraj. Perjuangan berteraskan Iman memerlukan kepada kesabaran yang tinggi untuk meyakinkan seruan perjuangan diterima.

Sikap Nabi SAW telah menjadi suri teladan kepada kita. Baginda yakin terhadap apa yang baginda bawa. Ummu Hani' pernah melarang baginda daripada menceritakan kepada orang ramai, kerana yakin orang Quraisy akan menolak cerita tersebut. Baginda menjawab dengan tegas, samaada orang percaya atau tidak ini bukan urusan beliau, kewajipannya hanya menyampaikan risalah ini kepada orang ramai. Inilah qudwah yang wajib diteladani oleh kita sebagai anggota harakah Islamiah. Tidak takut dengan penolakan orang, yang penting risalah mesti disampaikan.

Ustaz Idris Ahmad,
Ahli Parlimen Bukit Gantang

0 comments:

Advertise