Monday, May 20, 2013

Tubuh sekretariat optimakan peranan Adun


PAS Perak telah menubuhkan sekretariat Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam usaha mengoptimakan peranan Adun PAS di yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Sekretariat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki bersama Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri sebagai timbalannya.

Ustaz Misbahul berkata, sekretariat tersebut akan memantau segala gerak kerja Adun di kawasan masing-masing disamping memberi idea-idea kepada mereka supaya dapat menjalankan amanah sebaik mungkin.

 “Kami akan menyelaraskan pelbagai program seperti agensi kerajaan dan swasta, menyelaras program turun padang, mengatur sidang akhbar dan sebagainya.

“Kami akan mengoptimakan peranan Adun PAS sebagai wakil rakyat yang berkesan kepada seluruh rakyat Perak,” katanya.

Katanya, semua Adun akan dipersiapkan untuk menghadapi sidang Dun agar lebih berperanan seterusnya suara di rakyat di kawasan masing-masing berjaya disuarakan.

Sekretariat itu katanya akan membantu dan menyelaraskan penyediaan soalan-soalan lisan dan bertulis serta teks perbahasan Adun.

“Kami akan memastikan semua Adun berperanan besar serta mampu mengulas pelbagai isu terutama dari dalam negeri,” kata beliau.

Misbahul menjelaskan, pihaknya juga akan memantau dan membimbing pusat khidmat di kawasan masing-masing agar semuanya berfungsi dengan baik untuk rakyat menyampaikan permasalahan serta bertemu dengan Adun mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan turut memastikan pusat khidmat di kawasan yang tidak dimenangi PAS turut berperanan untuk membantu masyarakat.

“Pesediaan seperti ini sangat penting agar semua Adun PAS dilihat berintegriti dan mempunyai kualiti sebagai pemimpin,” tegasnya lagi.

PAS mempunyai 5 Adun di Perak iaitu Ustaz Abu Bakar Hussien (Titi Serong), Dato’ Seri Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Ustaz Radzi Zainon (Sungai Rapat), Ustaz Zawawi Hassan (Gunong Semanggol), dan Husin Din (Selinsing).

0 comments:

Advertise