IPOH: Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar
menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib tentang Tsunami Cina
adalah semata-mata untuk menutup kegagalannya merealisasikan konsep Satu
Malaysia.
Menurutnya, konsep Satu Malaysia yang diwar-warkan oleh
Najib telah ditolak oleh sebahagian besar rakyat di Negara ini kerana
pemimpin-pemimpin BN itu sendiri tidak mendokong konsep tersebut.
Ahli Parlimen Batu Gajah itu berkata, BN menggunakan
konsep itu untuk mengaburi mata rakyat terutamanya kaum bukan Melayu untuk
mendapatkan sokongan mereka.
“Slogan retorik itu mungkin telah sedikit sebanyak
menawan orang luar bandar yang tidak mempunyai pendedahan kepada media
alternatif.
“Walau bagaimanapun golongan yang lebih arif terutamanya
dari kalangan penduduk bandar dan separa bandar telah tidak termakan dengan
agenda tersebut,” katanya.
Katanya, BN bukan hanya hilang sokongan pengundi Cina,
malah semua kaum telah menolak mereka disebabkan pemerintahan yang penuh korup,
kezaliman dan perkauman yang diapi-apikan.
Jelasnya, untuk menutup kelemahan dan kegagalannya untuk
mencapai prestasi yang baik, Najib cuba memutar belitkan isu dengan menuduh
kaum Cina.
“Najib telah membuat percaturan yang salah dengan
menyalahkan satu kaum yang sangat berjasa dan berkorban untuk tanah air ini.
“Tanpa sokongan orang Melayu dan India sudah tentu
Pakatan Rakyat tidak boleh memperolehi jumlah undi yang begitu banyak.
“Pakatan Rakyat juga telah menang banyak kawasan-kawasan
di mana jumlah pengundi Melayu adalah lebih besar daripada pengundi bukan Melayu,”
jelas Sivakumar.
Ini katanya adalah satu bukti kukuh bahawa bukan sahaja
kaum Cina malah seluruh rakyat Malaysia telah menolak BN dan menyokong Pakatan
Rakyat dalam PRU13.
“Sudah tiba masa untuk BN berhenti permainan politik
perkauman. Rakyat sudah muak dan benci dengan politik perkauman yang semakin
melampau.
“BN akan hilang sokongan semua kaum jika tidak berhenti
permainan politik kotor ini, tuduhan seperti itu telah mengambarkan isi hati
pemimpin-pemimpin BNyang sebenarnya menanam tebu dibibir dengan melaungkan
slogan 1Malaysia,” jelas beliau.
1 comments:
Kalau bn d tolak rakyat masakan bn boleh menang. Jgn salahkan orang lain bila kiya jatuh. Melayu tak pernah tolak bn hanya cina n india je tak sokong tapi melayu tetap menang. Skrang cina n india blehlah nangis sbab tak berjaya kalahkan umno.skarang apa awak hendak?
Post a Comment