Wakil penduduk, Chong Ju Phong, 77, berkata, penutupan laluan itu oleh kontraktor yang dilantik menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan jalan lebih jauh untuk keluar ke pekan Parit Buntar kerana akses jalan utama sesak digunakan lebih 500 penduduk di situ. Menurutnya, laluan alternatif itu juga menjadi laluan utama penduduk pada Jumaat kerana kesesakan trafik berlaku akibat adanya pasar malam di Pekan Lama, di sini. “Bermula November lalu, JPS menjalankan kerja pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Kerian melibatkan sistem perparitan sepanjang 800 meter di hadapan taman perumahan kami. “Selepas perayaan Tahun Baru Cina lalu, JPS melalui kontraktor dilantik bertindak menutup laluan akses itu dan memberi jaminan akan membukanya semula dalam tempoh dua minggu," katanya selepas mengetuai demonstrasi di lokasi kejadian, semalam. Bagaimanapun, kata Ju Phong, akses laluan alternatif itu tidak disiapkan sehingga kini dan menyukarkan penduduk untuk ke Pekan Parit Buntar kerana terpaksa menggunakan akses utama yang berisiko kemalangan serta jauh. Jelasnya, akibat masalah itu, JPS digesa melalui kontraktor yang dilantik menyediakan satu laluan akses alternatif sementara yang boleh digunakan penduduk sehingga laluan sebenar disiapkan. Wakil kontraktor dilantik JPS, Abul Hassan Hamid ketika ditemui menegaskan tindakan penutupan akses keluar masuk ke Taman Sempadan selama lebih dua bulan bukan perkara disengajakan. Katanya, projek itu terbantut akibat kelulusan reka bentuk pembinaan semula akses keluar masuk ke taman perumahan itu yang masih ditangguh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). “Bagaimanapun, kami berjanji akan menyiapkan dan membuka semula akses ke Taman Sempadan dalam tempoh empat bulan serta meminta penduduk bersabar. “Saya sudah mendapat kebenaran JPS untuk menyediakan akses sementara ke taman menggunakan sebahagian tanah rizab TOL kerajaan, terletak bersebelahan tapak projek," katanya. Namun, tambahnya, perkara itu bergantung pada persetujuan MPSP dan Kerajaan Negeri, beliau berharap kelulusan dapat diberikan demi kemudahan penduduk. Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa meminta penduduk bersabar dan memberi jaminan akan memastikan MPSP atau Kerajaan Negeri memberi kebenaran kepada kontraktor menyediakan laluan akses sementara. “Perbincangan dengan kontraktor dan JPS dijalankan secara positif sehingga ketiga-tiga pihak termasuk penduduk memperoleh penyelesaian terbaik,” katanya.SH |
0 comments:
Post a Comment