Tuesday, May 21, 2013

Integriti kerajaan BN Perak bermasalah


IPOH: PAS Negeri Perak menyokong penuh titah Pemangku Seri Paduka Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang menekankan keperluan dan kepentingan sikap integriti dan daya tahan kepimpinan di dalam mencorak pemerintahan.  

Ketua Penerangannya, Dr Ahmad Nuri Al-Amin berkata, titah baginda yang disampaikan di Konvensyen Integriti anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan baru-baru ini menjelaskan bahawa sokongan dan keyakinan rakyat hanya akan dapat diperkasakan melalui nilai teladan integriti pemimpin yang utuh.

“Bagi kami, antara punca kejatuhan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional(BN) Negeri Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke - 12 tahun 2008 yang lalu berpunca daripada salahguna kuasa dan sikap kronisme yang telah diamalkan.

“Dan sekali lagi selepas rampasan kuasa oleh BN pada awal Februari 2009 yang lalu, BN di bawah kepimpinan Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir masih lagi gagal untuk menghilangkan budaya politik wang atau rasuah di kalangan pimpinan BN yang jelas mencerminkan nilai integriti yang sangat rendah kepada rakyat,” katanya kepada Harakah 21 Mei lalu.

Menurutnya, banyak isu yang telah PAS dedahkan berkenaan salahguna kuasa dan amalan kronisme yang masih diteruskan oleh pentadbiran Zambry.

Jelas Ahmad Nuri, PAS beranggapan, Zambry tidak mengambil pengajaran penolakan BN pada PRU 12 yang lalu.

Katanya, dengan majoriti yang semakin mengecut ketika ini, pentadbiran Zambry sebenarnya begitu 'goyang' yang boleh diibaratkan menunggu masa sahaja akan jatuh jika BN Perak tidak peka masalah integriti di kalangan mereka.

“Bagi PAS, semua perkara tersebut tidak mustahil akan berlaku kerana masalah integriti di kalangan kepimpinan Kerajaan Negeri BN Perak masih boleh dipertikaikan lagi.

“Hatta Zambry sehingga kini masih belum terlepas dengan isu Rumah Perak di Batu Feringgi, Pulau Pinang yang telah diberikan projek perhotelan kepada pegawai khasnya yang masih di dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” tegasnya lagi.

0 comments:

Advertise