Friday, May 17, 2013

Ahli Parlimen, Adun turun temui rakyat ucap terima kasih


 Tidak menunggu masa yang lama selepas diumumkan sebagai wakil rakyat yang sah, Ahli Parlimen Parit Buntar Dato’ Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Adun Titi Serong Ust. Abu Bakar Husin turun bertemu peniaga dan orang ramai di pasar awam Parit Buntar bagi mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang mengundi pada hari pengundian 5 Mei lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong yang baru, Ust. Abu Bakar Husin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan terhadap para pengundi semua kaum kerana telah memberikan kepercayaan kepada beliau mewakili mereka.

"Saya mengucapkan terima kasih atas sokongan pengundi-pengundi Dun Titi Serong yang mengundi saya dan kepada semua yang tidak mengundi saya mengharapkan mereka menerima saya sebagai Wakil Rakyat mereka bagi membawa suara rakyat dalam Dewan Undangan Negeri Perak".

"Mari sama-sama kita rapatkan saf kita dan bekerjasama bagi menyelesaikan apa juga masalah rakyat dalam Dun Titi Serong tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama" Katanya
Ust. Abu Bakar  berkata beliau sedia berkhidmat untuk rakyat bagi menyuarakan masalah rakyat serta menjadi penasihat yang baik kepada kerajaan negeri dalam apa juga perkara.

"Saya akan menyuarakan masalah yang dihadapi oleh lapisan rakyat, kebajikan rakyat semua rakyat, orang Melayu, orang Cina, orang India dan sesiapa juga.
"Saya juga berazam menerap sifat cintakan ilmu kebajikan dalam kalangan rakyat di samping memberi fokus kepada pembangunan sosial, modal insan dan keharmonian sepanjang perkhidmatan saya di sini," tambah beliau.

Sementara itu, Dato’ Dr Mujahid Yusuf Rawa yang mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Parit Buntar  turut berterima kasih kepada pengundi dan berazam untuk meneruskan khidmat dengan cemerlang kepada penduduk di Parit Buntar.

"Walaupun kita tidak diberikan peruntukan khusus oleh kerajaan tetapi itu semua bukannya halangan kepada kita untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Saya yakin penduduk di sini telah menilai pencapaian kita selama lima tahun yang lepas dan mereka terus memberi kepercayaan kepada kita untuk mewakili mereka," sambung beliau lagi.

0 comments:

Advertise