Monday, March 18, 2013

Pengerusi, 30 AJK dan ahli Persatuan Kerabat dan Waris Negeri Perak sertai PAS


BERUAS: Pengerusi Persatuan Kerabat dan Waris Negeri Perak, YM Raja Rozmal Raja Yaacob mengisytiharkan diri menyertai PAS.

Beliau menyerahkan borang permohonan keahlian PAS bersama 30 AJK dan ahli persatuan itu kepada Timbalan Presiden PAS, Hj Mohammad Sabu dalam satu program ceramah politik di Beruas, dekat sini semalam.

Hadir sama ialah Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, YM Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss.

Dalam ucapannya, Raja Rozmal berkata, penyertaan tersebut tidak didorong oleh sesiapa tetapi ianya atas kesedaran sendiri setelah melihat perjuangan PAS adalah benar.

Menurutnya, penyertaannya juga akan memberi ruang kepada beliau dan ahli jawatankuasanya membantu PAS dan Pakatan rakyat untuk memenangi  PRU13 nanti.

Di akhir ucapannya, Raja Rozmal membacakan ikrar dengan mengatakan akan memberi sokongan padu kepada Pakatan Rakyat.

“Saya mewakili anak-anak Raja dan Waris Negeri Perak akan menyatakan sokongan penuh tidak berbelah bahagi demi memastikan kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan melalui perjuangan yang dibawa oleh PAS,” katanya dan disambut dengan laungan takbir oleh ribuan hadirin.

Sementara itu, Mohammad Sabu berkata, kemasukan Raja Rozmal itu memberi isyarat jelas bahawa rakyat di semua peringkat dan golongan dalam suasana inginkan perubahan.

Kata beliau, Umno tidak senang dengan suasana sekarang kerana ianya telah menggugat impian mereka untuk terus berkuasa di Negara ini.

Tegas Mohammad Sabu, momentum perubahan tersebut telah memuncak dan tiada sesiapa yang boleh menghalang rakyat untuk terus membuat perubahan.

Dalam pada itu, Raja Iskandar berkata, beliau melahirkan rasa gembira dan bersyukur  dengan kemasukan Raja Rozmal bersama ahli jawatankuasanya ke dalam PAS.

Beliau yang juga Waris Kerabat Di Raja Perak menjelaskan, penyertaan tersebut juga telah merancakkan lagi dimensi keahlian dalam PAS yang terdiri daripada pelbagai kalangan.

“Rakyat boleh menilai sendiri apabila Raja-Raja dan Waris Negeri sudah bersama PAS, takkan mereka masih terus bersama Umno?,” jelas mantan ahli jawatankuasa Persatuan Kerabat dan Waris Negeri Perak itu.

1 comments:

Nie le dienye barisan anak2 raja yg frust.....nk jd ketua kg xdpt....join le pr......wakaka

Advertise