Monday, March 18, 2013

Dihalang ke Qiamullail: 5 ahli PAS Tanjung Malim fail saman


IPOH – Lima ahli PAS kawasan Tanjung Malim memfailkan saman terhadap beberapa individu berikutan mereka dihalang untuk menghadiri program Qiamullail di Felda Gunung Besout 1 pada 24 November lalu.

Writ saman itu difailkan oleh Amirul Fairuzzeen Jamaluddin mewakili 5 ahli PAS terbabit melalui Tetuan Amin Amirul & Partners di Mahkamah Tinggi, Ipoh dekat sini 16 Mac lalu.

Saman yang difailkan tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan deklarasi bahawa perbuatan halangan, sekatan dan ugutan oleh defendan-defendan adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pihak defendan adalah Mohamed Nor Khairi Mohamed Ali dan Mohamed Ali Hassan masing-masing tinggal di Felda Gunung Besout, Sungkai.

Pihak plaintif pula ialah Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjung Malim, Aminuddin Zulkipli; Setiausaha, Mohd Junit Anuar; Ketua Penerangan, Mohd Shafie Hamid; Ahli Jawatankuasa, Khalili Kasim dan Mohd Nasri Zakaria.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif-plaintif dihalang defendan beserta 30 hingga 50 lelaki tanpa sebarang sebab-sebab yang sah di sisi undang-undang telah menghalang perjalanan, menyekat laluan sah dan menahan secara salah pergerakan plaintif-plaintif.

Defendan pertama juga telah mengeluarkan kata-kata termasuk ‘kami tidak benarkan masuk’ dengan cara berdiri di jalan raya beramai-ramai sepanjang masa ketika kesemua plaintif berada di lokasi dan meletakkan sebuah kereta Perodua Kancil merentangi jalan raya itu.

Defendan pertama itu juga mendakwa bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya menyebabkan halangan dan sekatan tersebut serta mengeluarkan kata ugutan sedia melakukan apa sahaja terhadap plaintif-plaintif jika melepasi halangan dan sekatan yang sengaja diadakan. Halangan dan sekatan oleh defendan-defendan berlarutan hingga terdengar laungan azan Subuh.

Plaintif-plaintif menegaskan bahawa halangan, sekatan, ugutan dan penahanan oleh defendan-defendan adalah perbuatan pencabulan hak asasi plaintif-plaintif untuk bebas bergerak dalam negara ini serta melaksanakan upacara dan kefardhuan Islam.

Disebabkan oleh tindakan itu, perbuatan tersebut telah mengakibatkan plaintif-plaintif menanggung malu dan diaibkan serta menjatuhkan maruah.

Dalam writ saman itu, pihak plaintif memohon deklarasi bahawa plaintif mempunyai hak untuk melalui jalan masuk utama ke Felda Gunung Besout 1, 2 dan 3 tersebut.

Tuntutan lain adalah deklarasi bahawa defendan-defendan telah melakukan perbuatan bertentangan dengan Artikel 9 dan 11 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 503, 340 dan 339 Kanun Keseksaan.

Turut dituntut adalah ganti rugi am, ganti rugi teladan kos kepeguaman dan relif-relif lain yang difikirkan wajar dan bersesuaian untuk diberikan oleh mahkamah.

0 comments:

Advertise