Monday, March 18, 2013

Pastikan golongan muda bersama Pakatan Rakyat


KUALA LUMPUR: Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia mengarahkan jentera pemuda bersedia untuk menghadapi PRU13 yang bakal diadakan pada bila-bila masa lagi.

Timbalan Pengarahnya, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar berkata, jentera harus menggiatkan usaha untuk menarik sokongan golongan muda khususnya yang pertama kali akan mengundi nanti.

Katanya, undi daripada golongan muda sangat penting bagi menentukan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU13 nanti.

Fakhrulrazi menjelaskan, BN khsusnya Umno berusaha bersungguh-sungguh dengan pelbagai cara untuk meraih sokongan daripada golongan muda.

“Pelbagai ‘gula-gula’ telah diberikan dan tidak kurang janji-janji ditabur oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak kepada rakyat khususnya golongan muda.

“Ini sudah pasti menjadi cabaran besar kepada PAS untuk memastikan segala pemberian tersebut tidak memberi kesan dan golongan muda tidak mengambil keputusan untuk menyokong BN dalam pilihanraya nanti,” katanya.

Beliau yang juga Bendahari Dewan Pemuda PAS Perak menjelaskan, dalam konteks sekarang memang golongan muda lebih cenderong kepada Pakatan Rakyat disebabkan kemunculan media baru yang dapat menyalurkan maklumat kepada mereka.

Namun katanya, PAS tidak boleh melupakan golongan muda yang tidak celik kepada media baru dan masih mengharapkan kepada sumber media arus perdana seperti televisyen dan surat khabar yang penuh dengan putar belit.

“Jentera harus turun di peringkat bawah untuk menyantuni mereka dan memberi maklumat serta penjelasan tentang perjuangan PAS serta isu-isu yang berlaku hari ini.

“Umno giat melakukan pelbagai kaedah khususnya atas nama kerajaan dan persatuan belia untuk memastikan golongan muda bersama mereka,” jelasnya lagi.

Tegasnya, Pemuda PAS yakin golongan muda akan menjadi penyumbang besar bagi memastikan kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU13 nanti.

0 comments:

Advertise