Monday, February 4, 2013

Perebutan calon menghantui Umno Perak


IPOH: BN Perak khususnya Umno menghadapi masalah besar iaitu dalam memlih calon untuk bertanding dalam PRU13 nanti.

Yang Dipertua PAS Taiping, Ustaz Fakhruddin Abdul Aziz berkata, sehingga sekarang dalam kalangan ahli Umno itu sendiri masih tidak mengetahui siapa calon di kawasan mereka.

Menurutnya, dalam Umno itu sendiri mempunyai beberepa kumpulan dan masing-masing berlawan untuk mengetengahkan calon pilihan mereka.

“Proses memilih calon menghantui Umno ketika ini menyebabkan mereka berpecah belah dan sehingga sekarang masih belum selesai,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihanraya PAS Perak menjelaskan, situasi seperti ini memang selalu berlaku dalam Umno di semua kawasan terutama apabila hampir pilihanraya.

Katanya, Umno sama ada di peringkat negeri dan pusat tidak berani untuk mengisytiharkan calon lebih awal kerana mengelak berlakunya ‘perang besar’ dan boikot daripada ahli sendiri.

“Ini berlaku di kawasan Taiping apabila lebih 6 calon disebut-sebut untuk menjadi calon di Dun Kamunting dan sehingga hari ini belum lagi ada kata putus tentang calon tersebut,” jelasnya.

Fakhruddin menjelaskan, kerjasama antara jentera komponen BN dalam menjalankan program masih longgar seolah-olah mempunyai masalah untuk bersama.

Katanya, ianya sangat berbeza dengan Pakatan Rakyat yang akrab menjalankan gerak kerja terutama dalam situasi bahang pilihanraya.

“Di peringkat kawasan Taiping, kami bergerak seiring dalam menjalankan aktiviti-aktiviti khususnya menyantuni rakyat.

“DAP saling bekerjasama membantu gerak kerja PAS di Dun Kamunting,” kata beliau.

Ketika ditanya tentang calon di kawasan Taiping, beliau menegaskan bahawa pemilihan calon Pakatan Rakyat sudah selesai dan semua calon sudah turun mendekati masyarakat.

“Saya yakin PAS akan memenangi Dun Kamunting dan DAP serta PKR akan mengekalkan kemenangannya di parlimen Taiping, Dun Pokok Asam dan Dun Aulong,” tegasnya.

0 comments:

Advertise