DOA untuk menghancur dan menjahanamkan Umno-BN yang
disebut di Stadium Sultan Muhammad IV baru-baru ini adalah bermaksud
mengalahkan parti dan gabungan tersebut dalam pilihan raya umum akan
datang.
Dalam arena politik Malaysia, Pas dan Umno sekian lama bertanding untuk
memenangi hati rakyat bagi mendapatkan kuasa pemerintahan. Dasar
sekular dan nasionalis perkauman yang diperjuangkan oleh Umno-BN jelas
bertentangan dengan dasar Pas yang ingin menegakkan Islam yang syumul
dan menyeluruh.
Dasar Umno-BN inilah yang telah membawa banyak kerosakan dalam
masyarakat dan negara. Keruntuhan akhlak, gejala sosial, pecah amanah,
peningkatan jenayah, kehancuran institusi keluarga, dan lain-lain adalah
bahana daripada pemerintahan Umno-BN selama ini.
Umno-BN hanya menjadikan Islam sebagai amalan ritual yang dipenjara
dalam institusi, program dan majlis agama, bukan sebagai rujukan dan
dasar dalam pemerintahan.
Justeru, atas sebab inilah Pas berlawan dengan Umno-BN dan bertanding
dalam pilihan raya untuk mengalahkan parti dan gabungan tersebut. Ini
kerana perjuangan dan dasarnya jauh bertentangan dan menyimpang daripada
Islam yang dibawa oleh Nabi Junjungan S.A.W.
Untuk mencapai kemenangan dalam 'peperangan' pilihan raya ini,
kehancuran pihak lawan adalah sangat penting. Hancurnya Umno-BN bukan
bermaksud hancur dan binasa individu yang berada di dalamnya. Hancurnya
Umno-BN ialah parti dan gabungan tersebut tidak mampu meneruskan
survival dan kelangsungan perjuangan yang berlawanan dengan Islam
apabila kalah dalam pilihan raya.
Kehancuran ini adalah agar rakyat Malaysia tidak lagi berada di bawah
pemerintahan Umno-BN yang telah menyebabkan kerosakan yang parah kepada
negara. Malaysia perlu diselamatkan daripada pemerintahan yang seumpama
ini.
Doa untuk keburukan dan kehinaan untuk orang lain adalah bukan perkara
asing dalam Islam. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. telah menaiki
mimbar sambil berkata: "Amin, amin, amin." Dikatakan kepada baginda:
"Wahai Rasulullah! Apa yang kamu buat ini?" Baginda menjawab: "Jibril
a.s. berkata kepada aku, kehinaan kepada seseorang hamba apabila dia
memasuki Ramadan tidak diampunkan untuknya dosa. Maka aku berkata amin.
Kemudian Jibril berkata, kehinaan kepada seseorang hamba apabila disebut
namamu dia tidak berselawat ke atas mu. Maka aku berkata amin. Jibril
berkata lagi, kehinaan kepada seseorang hamba yang sempat dengan kedua
ibu bapanya atau salah seorang daripadanya tetapi tidak boleh
memasukkannya ke dalam syurga (kerana tidak berbuat baik kepada mereka)
maka aku berkata amin."
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Baihaqi. Dalam riwayat yang lain
malaikat Jibril mendoakan agar dibinasakan atau dijauhkan rahmat
daripada ALLAH bagi ketiga-tiga mereka yang disebutkan di atas.
Ustaz Azhar Yahya,
Timbalan Pengerusi Ulama Pelapis PAS Pusat
1 comments:
PRU 13..meme hancur umno!!Berkat doa rakyat kelate.
Post a Comment