'Pendapatan kami tergugat'
Kira-kira 1,000 nelayan Pulau Pangkor mengakui terjejas pendapatan kesan daripada penglibatan nelayan warga asing di kawasan mereka.

Ekoran masalah itu, seramai 300 nelayan membuat demonstrasi aman dengan berarak hingga ke pondok polis Sungai Pinang Kecil sebagai tanda bantahan dan mendesak tindakan segera diambil.

Wakil nelayan, Zamzami Jaafar, 31, berkata, kebanjiran nelayan warga asing semakin bertambah setiap hari menyebabkan nelayan tempatan menerima kesannya.

“Pendapatan kami  tergugat disebabkan pemilik bot atau kapal lebih suka menggunakan khidmat nelayan asing kerana gaji dibayar lebih murah.

“Sebagai contoh, upah yang dibayar sebanyak RM3 bagi sekilogram ikan diturunkan kepada RM2 menyebabkan kami nelayan tempatan terpaksa menanggung rugi sedangkan kami ada keluarga yang mahu ditanggung,” katanya.

Menurut Zamzami, jika dahulu mereka boleh menangkap ikan selama seminggu di sesuatu kawasan tetapi kini ia dihadkan.

Mereka dikatakan hanya boleh menangkap ikan selama dua hari sahaja dalam seminggu di tempat yang sama kerana telah dikuasai oleh nelayan asing berkenaan.

“Mahu tidak mahu kami terpaksa mencari kawasan lain untuk menangkap ikan dan kadang-kala langsung tidak mendapat hasil,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Arif Abdullah, 28, berkata, perkara itu sudah dibawa ke pengetahuan persatuan nelayan namun sehingga kini masih tidak ada penyelesaian.

“Masalah ini semakin teruk sehingga ada penduduk yang menganggur kerana pemilik bot lebih suka guna khidmat nelayan asing,” katanya.

Mereka juga khuatir kejadian tidak diingini berlaku termasuk masalah jenayah yang boleh menggugat keselamatan penduduk dan pelancong di pulau ini.

“Pernah satu ketika nelayan tempatan dibaling dengan parang ketika menangkap ikan selain diugut oleh mereka.

“Kita juga bimbang dengan dakwaan mengatakan mereka membawa masuk benda terlarang  selain mewujudkan beberapa gejala sosial negatif lain,” katanya.

Arif memberitahu, sebanyak 99 peratus penduduk pulau itu bekerja sebagai nelayan dan jika peluang itu diberikan kepada nelayan asing, warga tempatan kini sudah tidak mempunyai pekerjaan.

“Memang ada sektor lain di sini termasuklah perhotelan tetapi bukanlah mudah dan jumlahnya juga tidak banyak sedangkan ramai anak-anak muda yang memerlukan pekerjaan,” katanya.

Bagi Mah Kee Chan, 38, mereka bukan menyekat kehadiran nelayan asing ke pulau itu tetapi jumlahnya harus dikawal.

“Kami seolah-olah sudah tidak ada tempat di kawasan ini memandangkan semuanya dikuasai oleh nelayan asing.

“Terdapat lebih kurang 80 bot nelayan dan hanya 20 bot sahaja yang melibatkan warga tempatan manakala selebihnya adalah warga asing,” katanya.

Katanya, keadaan itu mengundang masalah kepada nelayan tempatan sekaligus menggugat pendapatan mereka.

“Sepatutnya kemasukan mereka dihalang dan pemilik bot memberi peluang kerja kepada nelayan tempatan,” katanya.

Nelayan, Wan Na Li, 75, berkata, perkara itu amat menyedihkan terutama tentang penggunaan minyak subsidi.

“Mereka turut mendapat minyak subsidi sedangkan perkara itu disediakan untuk nelayan tempatan.

“Kami khuatir jika ada yang tidak kena sehinggakan mereka mendapat nikmat yang bukan hak mereka,” katanya.

Katanya, pihak tertentu termasuklah Jabatan Imigresen, Jabatan Perikanan, Maritim perlu menyiasat perkara itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pangkor, Rasidi Ibrahim berkata, masalah itu telah diajukan kepada jabatan berkaitan sejak tiga tahun lalu.

“Perkara ini sudah berada dalam pengetahuan Menteri Besar dan tindakan untuk mengatasinya tidak pernah berhenti.

“Kita persatuan nelayan memang memandang serius perkara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, persatuan dan juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan itu dalam perancangan untuk mengadakan majlis interaksi dengan jabatan terlibat.

“Kita harap jabatan terlibat lebih menguatkuasakan lagi undang-undang dalam mengatasi warga asing ini.

“Persatuan juga sentiasa bersedia membawa pelbagai masalah nelayan ke peringkat atasan bagi mencari jalan penyelesaian namun, setiap masalah pastinya memakan masa untuk diselesaikan,” katanya.

-Sinar Harian