Badan Perhubungan PAS Negeri Perak amat kesal dengan laporan-laporan rasuah yang dibuat terhadap beberapa orang dari kepimpinan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir di kalangan barisan EXCO serta pegawai-pegawainya namun masih dilihat sepi tanpa ada apa-apa tindakan perundangan yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Umum telah pun mengetahui bahawa banyak penyiasatan yang dilakukan oleh SPRM hasil laporan tersebut dan sebahagian dari proses penyiasatan tersebut sepatutnya sudah sampai ketahap pendakwaan di Mahkamah namun pada hakikatnya ia adalah ‘indah khabar dari rupa’.
Ini termasuk pendedahan yang pernah disebut oleh Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang lepas terhadap seorang EXCO pimpinan Datuk Seri Zambry.
Malah Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dahulu juga telah mendedahkan penyiasatan terhadap seorang EXCO Datuk Seri Zambry oleh SPRM. Yang hairannya, dimanakah kes rasuah tersebut kini? Kenapakah tiada kenyataan rasmi ‘pembersihan’ daripada SPRM bagi menafikan EXCO tersebut?
Jesteru, kami mendesak agar ketelusan daripada pihak SPRM di dalam memastikan laporan unsur rasuah yang telah dibuat dapat dijawab dengan segera.
Malah kami mendesak agar pihak SPRM tidak bersikap ‘memilih bulu’ di dalam penyiasatan terhadap ‘orang politik’ khasnya kerana inilah punca persepsi buruk rakyat terhadap SPRM di dalam banyak kesnya.
SPRM mesti bebas dan perlu 'dilihat' bebas, lebih-lebih lagi di dalam penyiasatannya terhadap ‘orang politik’ terutama yang mentadbir sesebuah kerajaan kerana ruang untuk melakukan penyelewangan amat mudah dilakukan.
Ustaz Nuri Al-Amin,
Ketua Penerangan PAS Perak
0 comments:
Post a Comment