Jersi skuad Liga Super Perak yang terdapat logo Perak Aman Jaya.
Jersi skuad Liga Super Perak yang terdapat logo Perak Aman Jaya.

IPOH – Badan Perhubungan Pas Negeri mempersoalkan penggunaan logo Perak Aman Jaya daripada pihak Institut Darul Ridzuan (IDR), pada jersi skuad Liga Super Perak sempena saingan Piala Malaysia baru-baru ini.

Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan Pas Negeri Dr Raja Ahmad Iskandar Al- Hiss berkata, penggunaan logo berkenaan didapati telah mengundang reaksi negatif kebanyakan penyokong bola sepak tempatan yang secara kebetulan kecewa dengan prestasi buruk skuad Liga Super dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Penggunaan logo ini mendapat banyak respon negatif daripada orang ramai khususnya penyokong, namun apa yang kami ingin ketengahkan adalah, berapakah kos yang disalurkan oleh IDR bagi penggunaan logo pada jersi pemain tersebut?"

"Jika sebelum ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) boleh melupuskan hutangnya semenjak tahun 2003 dengan Persatuan Bolasepak Negeri Perak (PAFA) berjumlah RM 800,000 bagi tujuan yang sama?” katanya lagi.

Raja Ahmad berkata, secara keseluruhannya, IDR pada hari ini seolah-olah telah hilang fokus utamanya dalam melaksanakan peranan meningkatkan ekonomi negeri.

Katanya lagi, peranan IDR untuk memajukan negeri juga bukan lagi berdasarkan kajian berdasarkan kajian saintifik; tetapi lebih kepada hasil strategi mereka sendiri.

“Mereka (IDR) pada hari ini lebih melaksanakan projek berdasarkan strategi mereka sendiri berbanding kajian saintifik. Antaranya dengan meletakkan logo Perak Aman Jaya ini sebagai satu cara untuk memajukan negeri.

“Kempen Kibarkan Jalur Gemilang tahun ini juga tidak sehebat seperti tahun sebelumnya.

Tiada lagi sumbangan khas Jalur Gemilang daripada Kerajaan Negeri dan keadaan itu menyebabkan sambutan kali ini agak suram,” katanya. SINAR HARIAN