Thursday, November 7, 2013

Raja Iskandar menang Ketua Pemuda Perak

IPOH: Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dipilih Ketua Pemuda PAS Perak sesi 2013-2015 dalam Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Perak kali ke-30 di Hotel Tower Regency dekat sini,3 November lalu.

Beliau menang dengan majoriti 7 undi apabila mendapat 104 undi mengatasi penyandang, Ustaz Zawawi Hassan yang hanya menerima 97 undi sahaja.

Amat menarik kerana angka yang sama berlaku dalam pertandingan Timbalan Ketua apabila Ustaz Akmal Kamaruddin berjaya mendapat 104 undi mengatasi Salman Saleh yang hanya memperoleh 97 undi.

Dalam pada itu, Ustaz Khairie Jamaluddin mempertahan jawatan Naib Ketua apabila berjaya mendapat 108 undi mengatasi Ustaz Nazri Din yang hanya mendapat sokongan 95 undi daripada perwakilan.

Ahli Jawatankuasa pula masing-masing dimenangi oleh Ustaz Hafez Sabri (186), Mohd Aidil Aziz (130), Ustaz Abdullah Adam (126), Ustaz Ismi Mat Taib (125), Ustaz Mohd Faizal Phuait (123), Ustaz Akmal Abdullah Sani (110), Ustaz Fakhrurazi Mokhtar (110), Ustaz Fairuz Hafiz (106), Ustaz Hakim Mohd Nor (104), dan Ustaz Anuar Murad (101).

Pengerusi Tetap, Dr Ahmad Nuri Al-Amin dan timbalannya, Khalilul Rahman Abdul Samad masing-masing mempertahankan jawatan tersebut setelah tiada pertandingan berlaku.

Dr Raja Ahmad Iskandar ketika ditemui berkata, amanah yang diberikan kepadanya ini akan dipikul sebaik mungkin.

"Satu tugas yang berat namun ianya tanggungjawab yang perlu dipikul. 

"Doakan saya agar dapat memimpin DPPN dengan baik dan penuh amanah," katanya kepada Harakah.

Menurutnya, dengan semangat kerjasama bersama saff kepimpinan baru, beliau yakin Pemuda PAS Perak akan menjadi satu gerakan mantap serta kukuh dalam memimpin anak muda. 

Jelasnya, Pemuda PAS perlu fokuskan strategi untuk menarik sokongan anak muda disamping memantapkan tarbiyah para ahli.

"Pemuda PAS yang kini dianggap 'kekasih baru' dalam kalangan masyarakat, kita perlu cari satu keunikan ataupun kaedah yang dapat meyakinkan mereka khususnya kelompok generasi Y untuk bersama PAS. 

"Hatta, bukan hanya menyokong, tetapi bersama-sama menggerakkan jemaah ini," tegasnya lagi.

2 comments:

Advertise