Thursday, September 26, 2013

TATACARA PEMILIHAN DALAM PAS MENURUT ASMUNI AWI

PENJELASAN PENGERUSI LAJNAH UNDANG-UNDANG PAS PUSAT, ASMUNI AWI TENTANG TATACARA PEMILIHAN PEMIMPIN PAS MUKTAMAR TAHUNAN PAS KE-59 NOVEMBER INI

Pada 25 Ogos lalu, Jawatankuasa PAS Pusat telah meluluskan satu peraturan baharu dilaksanakan pada pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke-59 tahun. Ia akan berlangsung mulai 22 hingga 24 November depan di Selangor. PAS maju setapak lagi. Bagaimana kedudukan garis panduan itu bagi mesyuarat agung cawangan dan kawasan kerana kelulusan peraturan itu sudah dikira lewat. Ikuti pandangan Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi mengenai perkara ini ketika ditemubual Wartawan Kanan Harakah, AZIZ MUDA pada 23 September lalu.

HARAKAH: PAS akan perkenalkan garis panduan kempen yang disebut "Peraturan dan Tatacara Pemilihan" menjelang Muktamar Tahunan PAS ke-59 November ini. PAS telah wujudkan satu jawatankuasa berkenaan peraturan dan tatacara pemilihan yang diketuai saudara sendiri. Boleh jelaskan...

ASMUNI AWI: Ini akan saya jelaskan dalam sidang akhbar yang akan saya adakan tak lama lagi. Sidang akhbar itu, insya Allah akan saya adakan minggu ini. Secara dasarnya, garis panduan itu atau dengan tepatnya kita namakan sebagai Peraturan dan Tatacara Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Pekara ini kita buat di bawah Fasal 85 Perlembagaan PAS Pindaan 2011. Ia sebenarnya telah digubal pada tahun 2005. Jadi, ia sepatutnya sudah digunapakai untuk pemilihan tahun 2005, 2007, 2009 dan 2011.
Masa itu, Dato' Kamarudin Jaffar yang menjadi Setiausaha Agung PAS. Saya telah diminta oleh Dato' Kamarudin untuk membuat peraturan itu. Tetapi Jawatankuasa PAS Pusat seperti tidak berminat untuk membincangkannya. Disebabkan kelewatan Jawatankuasa PAS membincangkannya, perlaksanaannya ditangguhkan.
Pada tahun 2011, saya juga turut dilantik sebagai Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat. Perkara ini hanya menarik minat Jawatankuasa PAS untuk dibincangkan dalam mesyuarat pada 25 Ogos lalu. Pada mesyuarat itu, peraturan ini telah diluluskan.
Sekarang setelah diluluskan, bermakna peraturan ini akan digunapakai secara rasmi sebagai satu tatacara standard yang digunapakai bagi pemilihan tahun ini dan semua pemilihan akan datang dari peringkat bawah hingga ke peringkat pusat.


Nampaknya ia agak terlewat...

Iya. Disebabkan kesuntukan masa, bagi tahun ini peraturan ini tak sempat untuk digunakan di peringkat cawangan dan kawasan kerana semua cawangan, kawasan telah mengadakan mesyuarat agung masing-masing sebelum peraturan ini diluluskan.
Bagi tahun ini, penggunaan peraturan ini hanya berkuatkuasa pada pemilihan di peringkat pusat termasuk Dewan Ulama PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat.
Untuk pemilihan dua tahun selepas ini baharulah peraturan ini digunapakai secara menyeluruh di semua peringkat termasuk cawangan, kawasan, negeri-negeri dan peringkat pusat termasuk bagi semua dewan peringkat pusat.
Selebihnya mengenai peraturan ini akan saya jelaskan secara detailnya dalam sidang akhbar yang akan saya adakan selepas ini pada minggu ini. Pada sidang akhbar itu nanti, saya akan turut mengedarkan peraturan ini kepada media.


Akan datang, ia akan dikeluarkan dalam bentuk buku khas untuk diedarkan kepada kesemua perwakilan nanti?

Sudah tentu. Peraturan dan Tatacara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ini akan dicetak dan disediakan dalam bentuk buku. Selepas itu, kami akan edarkan kepada Badan-badan Perhubungan PAS Negeri, sama seperti yang kita lakukan dengan buku Perlembagaan PAS.


Kenapa perlu ada peraturan dan tatacara ini?

Sebelum ini, kita sebenarnya tak ada peraturan yang kemas. Jadi ia menimbulkan banyak masalah. Masalah timbul disebabkan ketiadaan peraturan bukan hanya berlaku di peringkat kawasan, tetapi juga di peringkat negeri-negeri, malah kita di peringkat pusat pun jadi pening kepala dibuatnya.
PAS di negeri-negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat peraturan. Kuasa untuk membuat peraturan hanya ada di peringkat pusat. Sebelum ini walaupun ada peraturan, dalam peraturan itu tak disebut dengan jelas dan kemas macam mana peraturan itu.
Tak disebut macam mana peraturan bila bertanding, tak disebut borang apa yang hendak dipakai. Kalau ada pun peraturan, peraturan itu hanyalah peraturan-peraturan asas sahaja.
Sekarang bila kita sudah ada peraturan ini, tak timbul lagi masalah-masalah itu. Menerusi peraturan baharu yang dikemaskinikan ini, ada pendetailan mengenai peraturan-peraturan ini.
Di dalamnya ada dijelaskan tentang peraturan bila bertanding, borang yang hendak dipakai dan peraturan-peraturan lain yang perlu dipatuhi. Sepatutnya peraturan ini dah lama dibuat, tetapi hanya kini baharu dapat dikemaskinikan.
Dengan adanya peraturan ini, ia akan memberikan cukup banyak kebaikan kepada PAS. Ini sesuai dengan kedudukan PAS sendiri sebagai parti yang sedang berkembang di negara ini.


Kalau ada yang melanggar peraturan dan tatacara?

Kalau ada perlanggaran itu, ia lebih kepada pencalonan. Contohnya calon yang bertanding itu tidak mengikut disiplin yang ditetapkan seperti memburuk-burukkan peribadi pihak lawan. Jika ada perlanggaran, jawatankuasa yang saya pengerusikan ini tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan sebarang tindakan kepada mereka yang terbabit.


Jadi, pihak mana yang patut bertindak?

Tindakan hanya boleh diambil oleh pihak Lembaga Disiplin. Namun jawatankuasa yang saya pengerusikan ini bolehlah membuat laporan kepada pihak berkenaan seperti Jawatankuasa Pemilihan untuk dilaporkan kepada Lembaga Disiplin. Tindakannya terserah kepada Lembaga Disiplin kerana hanya Lembaga Disiplin yang boleh bertindak ke atas pihak yang melanggar peraturan ini.
Selain itu, jika ada perlanggaran, calon berkenaan masih juga boleh bertanding. Hanya setelah keputusan diumumkan baharulah Lembaga Disiplin akan bertindak ke atas individu terbabit sama ada membatalkan keputusannya, menggantung keahliannya dalam PAS dan sebagainya.


Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan-kawasan kali ini ada sedikit kelainan berbanding sebelum ini, apabila disyaratkan mesti ada pihak yang berperanan sebagai SPR daripada Badan Perhubungan PAS Negeri selain dua pemerhati yang memantau perjalanan mesyuarat.

Ini bukan perkara baharu. Ia dah lama dilakukan. Sejak dulu, SPR yang menjadi pemantau atau pemerhati itu dilantik oleh PAS kawasan sendiri. Tetapi mereka itu juga dipersetujui oleh Badan Perhubungan PAS Negeri juga. Jika ikut peraturan baharu ini, SPR itu akan dilantik oleh Badan Perhubungan PAS Negeri.
Tetapi seperti yang saya nyatakan tadi, ini tak sempat dilakukan untuk peringkat kawasan sekarang kerana kelewatan Jawatankuasa PAS Pusat meluluskan peraturan ini. Peraturan ini akan dikuatkuasa untuk semua peringkat termasuk di cawangan-cawangan, kawasan-kawasan dan negeri-negeri dua tahun akan datang.


Selain mesyuarat PAS kawasan, mesyuarat di peringkat Pemuda dan Muslimat kawasan juga ada disyaratkan pemerhati daripada Dewan Pemuda dan Muslimat Negeri masing-masing, bagi meneliti perjalanan pemilihan di peringkat pemuda dan muslimat kawasan?

Sejauh yang saya tahu, SPR atau pemerhati itu adalah daripada dewan pemuda dan muslimat dari kawasan lain, bukan daripada Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat Negeri. Tetapi ini saya tak pasti. Mungkin juga begitu.
Saya tak berapa tahu perkara ini kerana ini melibatkan dewan-dewan. Tetapi kalau pun begitu, ia bukanlah suatu perkara yang pelik sebab jika dewan negeri yang hantar pemerhatinya, perlantikan itu daripada dewan negeri juga dan kalau dewan kawasan yang hantar, ia tentu dipersetujui oleh Dewan Pemuda atau Dewan Muslimat Negeri juga.
Satu perkara yang nyata berhubung peraturan yang baharu ini, ia bukanlah membuang kesemua peraturan-peraturan lama yang sudah dilaksanakan. Sebaliknya peraturan baharu ini hanya mengemaskinikan peraturan-peraturan itu supaya segalanya menjadi lebih teratur dan lebih terurus.


Lazimnya PAS kawasan tak boleh adakan mesyuarat jika tak ada cawangan. Contohnya PAS Kawasan Bukit Bintang? Macam mana mereka adakan mesyuarat?

Mengenai perkara ini memang banyak masalah. Sebenarnya bukan hanya PAS Bukit Bintang sahaja yang tak ada cawangan, ada lagi PAS kawasan-kawasan lain yang tak ada cawangan termasuk PAS kawasan tertentu di Pulau Pinang.
Ini berkaitan dengan PAS kawasan, saya tak berapa pasti sebab saya di peringkat pusat. Tetapi perkara ini sebenarnya telah pun diputuskan oleh PAS Pusat. Sungguhpun begitu, saya fikir hanya Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali yang boleh menjelaskan hal ini.


Mengenai pencalonan, kalau dalam Umno dan KeADILan, calon-calon itu sendiri yang menawarkan dirinya untuk bertanding ke sesuatu jawatan. PAS macam mana?

Mengenai soal pencalonan ini, dalam PAS, amalan yang kita lakukan sejak dahulu bukan calon-calon itu sendiri yang menawarkan diri untuk bertanding, tetapi pencalonan itu dilakukan oleh orang lain. Selepas itu baharulah kita maklumkan perkara itu kepada individu berkenaan sama ada individu itu terima atau tidak pencalonannya itu.


Dalam PAS, untuk membolehkan seseorang itu bertanding, dia mesti mendapat sekurang-kurangnya dua pencalonan. Apakah syarat ini juga yang terus diguna pakai untuk pemilihan tahun ini?

Iya, syarat itulah juga yang masih lagi digunapakai hingga sekarang. Malah PAS tak ada hasrat untuk pinda perkara ini. Jadi, hingga sekarang kita terus kekal dengan syarat seseorang yang bertanding itu mestilah mendapat minima dua pencalonan.
Sebelum ini sebenarnya ada cadangan supaya mesti ada lima minima pencalonan, tetapi Jawatankuasa PAS Pusat cadangkan cara lama untuk terus digunapakai iaitu hanya dua pencalonan minima sahaja dalam apa jua jawatan yang dipertandingkan.


Boleh saudara jelaskan etika kempen kali ini?

Sebenarnya setiap calon atau ahli PAS boleh berkempen, tetapi mengikut peraturan yang ditetapkan. Calon itu hanya boleh promosikan dirinya sahaja sahaja. Dia tak boleh perlekehkan orang lain khususnya pihak lawan. Dia boleh jelaskan apa wawasannya dan apa yang akan dia buat kalau dia menang. Calon itu juga tak boleh menyalahgunakan kedudukannya.
Contohnya saya. Walaupun saya pengerusi atau ketua lajnah, saya tak boleh buat satu peraturan dalam lajnah saya dan dalam peraturan itu memusing begitu dan begini untuk membolehkan saya menang.
Ini tak boleh dilakukan sama sekali. Begitulah juga dengan calon-calon lain. Selain itu, setiap calon juga tidak boleh membeli undi. Setiap calon tidak boleh bertindak menyalahi disiplin parti seperti yang telah ditetapkan.


Boleh saudara jelaskan etika kempen kali ini?

Sebenarnya setiap calon atau ahli PAS boleh berkempen, tetapi mengikut peraturan yang ditetapkan. Calon itu hanya boleh promosikan dirinya sahaja sahaja. Dia tak boleh perlekehkan orang lain khususnya pihak lawan.
Dia boleh jelaskan apa wawasannya dan apa yang akan dia buat kalau dia menang. Calon itu juga tak boleh menyalahgunakan kedudukannya.
Contohnya saya. Walaupun saya pengerusi atau ketua lajnah, saya tak boleh buat satu peraturan dalam lajnah saya dan dalam peraturan itu memusing begitu dan begini untuk membolehkan saya menang.
Ini tak boleh dilakukan sama sekali. Begitulah juga dengan calon-calon lain. Selain itu, setiap calon juga tidak boleh membeli undi. Setiap calon tidak boleh bertindak menyalahi disiplin parti seperti yang telah ditetapkan.

0 comments:

Advertise