Monday, September 2, 2013

Hayati kemerdekaan, rapatkan hubungan kaum

IPOH: Kemerdekaan yang sebenar belum lagi dapat direalisasikan apabila hubungan antara pelbagai kaum di negara ini masih belum berjaya untuk diharmonikan.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Dato' Seri Nizar Jamaluddin berkata, suasana ini berikutan semangat perkauman masih ditanam oleh kerajaan ketika ini.

Menurutnya, semangat perkauman masih diapi-apikan oleh BN demi meraih kepentingan politik mereka.

"Kita dapat lihat sekarang, pelbagai perkara yang berlaku di negara ini berikutan sikap tidak bertanggungjawab sesetengan pihak yang mengapi-apikan perkauman bagi menjayakan hasrat peribadi mereka.

"Tindakan ini menggambarkan negara ini masih belum benar-benar merdeka," katanya ketika ditemui Harakah di Pejabat PAS Perak 24 Ogos lalu.

Oleh itu, kata beliau, rakyat perlu bersama-sama berusaha untuk membuang sentimen perkauman seterusnya berganding bahu mewujudkan sebuah negara yang aman makmur dan harmoni serta saling bermasyarakat.

Perpaduan antara kaum ini katanya sangat penting bagi menjadikan negara ini lebih maju,

"Kami (Pakatan Rakyat) tidak ada langsung sentimen perkauman kerana ianya adalah tidak berketepatan dengan konsep perpaduan masyarakat dan ianya sangat dilarang oleh Allah," jelasnya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, rakyat juga perlu membebaskan negara ini daripada dibelenggu kejahilan.

Katanya, BN sentiasa mahukan rakyat jahil dengan tidak membebaskan pemikiran mereka agar dapat terus diperdayakan dengan momokan yang tidak bertanggungjawab.

"Bebaskan negeri negara kita daripada dibelenggu kejahilan dan perkara-perkara yang tidak membebaskan kita.

"Pastikan negara ini dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang berwibawa dan berintegriti, tolak pemimpin yang rasuah dan bermasalah," jelasnya lagi.

2 comments:

Advertise